fbpx

PDRM rancang bina FOB banteras jenayah rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hazani.

KANGAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk membina sekurang-kurangnya lima ‘Forward Operation Base’ bagi meningkatkan kawalan untuk membanteras jenayah rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya bercadang untuk menubuhkan FOB tersebut di Perlis, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Rancangan pembinaan FOB ini juga akan melibatkan pemilikan aset beberapa pesawat jenis ‘short take off landing’ atau STOL dan juga helikopter.

“Bagi rancangan ini, saya sudah meminta Ketua Polis Perlis yang baharu untuk mengenalpasti kawasan yang bersesuaian untuk pembinaan landasan bagi kegunaan FOB,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.

Menurut Hazani, langkah itu dilakukan untuk memperkasakan kawalan sempadan selain bergantung kepada penggunaan teknologi dron dan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang digunakan pada waktu ini.

“Kertas cadangan rancangan ini akan dibawa ke peringkat lebih tinggi selepas ini untuk pertimbangan lanjut. Walaupun kita menggunakan aset sepwrti dron namun kekuatan sumber manusia juga akan dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Sebagai contoh, sekiranya dron dapat mengesan aktiviti jenayah rentas sempadan, kita akan mnggerakkan sumber manusia sebagai tindak pantas mematahkan cubaan tersebut,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hazani memaklumkan bahawa KDNKA sentiasa komited dalam menjalinkan kerjasama dengan pasukan polis serantau bagi membanteras jenayah sempadan menerusi Polis Asia Tenggara (Aseanapol).

Katanya, hubungan kerjasama itu akan dipertingkatkan dengan negara-negara Asia Tenggara bagi membanteras pelbagai jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah dan pelbagai elemen jenayah lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI