fbpx

Malakoff tambah 20 MW dalam portfolio solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR (lima dari kiri) pada majlis pelancaran kerjasama bagi penjanaan tenaga solar di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menerusi subsidiarinya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) bersama Kumpulan Syarikat DRB-HICOM dalam usaha mempercepatkan inisiatif transisi tenaganya.

Perjanjian bertempoh 25 tahun itu melibatkan pelaburan berjumlah RM50 juta daripada Malakoff bagi pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem solar fotovoltaik di 14 lokasi Kumpulan Syarikat DRB-HICOM di Selangor, Perak, Kedah, Melaka dan Pahang.

Ia melibatkan jumlah kapasiti 20.78 MWp (megawatt peak) serta penjanaan tenaga elektrik keseluruhan berjumlah 26,546.45 megawatt jam setahun.

Jumlah tersebut dianggarkan mampu menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 20,706 tan setahun, yang bersamaan dengan penyerapan karbon oleh kawasan hutan  seluas 23,204.56 ekar (9,390 hektar).

Syarikat terlibat dalam kerjasama terbabit ialah Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) Sdn. Bhd., PMB Properties Sdn. Bhd., ISUZU HICOM Malaysia Sdn. Bhd., HICOM Automotive Manufactures (Malaysia) Sdn. Bhd., CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., HICOM Teck See Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd., DRB-HICOM Berhad, DRB-HICOM Defense Technologies Sdn. Bhd., Defence Services Sdn. Bhd. dan PHN Industry Sdn. Bhd.

ANWAR menjawab soalan pemberita pada majlis pelancaran kerjasama hari ini.

Perjanjian berkenaan dijangka akan diperluaskan tahun hadapan dengan penambahan kapasiti sebanyak 10 MW lagi, dengan potensi untuk mencapai sehingga 50 MW tenaga solar atas bumbung.

Buat masa ini, Malakoff menerusi tonggak perniagaan baharunya, iaitu Malakoff Green Solutions memiliki kapasiti penjanaan 151 MW tenaga boleh baharu (RE).

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, ketika syarikat sedang berkembang secara agresif dalam perniagaan solar, pihaknya turut berhasrat mengembangkan tawaran RE lain.

“Ini termasuk pemasangan stesen kuasa hidro kecil, penggunaan Sistem Storan Tenaga Bateri (BESS), pemasangan pengecas kenderaan elektrik dan penggunaan mobiliti hijau yang sedang kami terokai secara intensif,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI