fbpx
TENAGA solar digunakan untuk menjana kuasa pada sistem tanaman hidroponik dinding keluaran Kekebun Venture System.

Teknologi IoT dalam tanaman hidroponik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEIRING perkembangan teknologi ketika ini, masyarakat dilihat cukup tertarik dengan konsep digital berlandaskan Internet of Things (IoT).

Hal ini kerana, penggunaan teknologi itu menjadikan sesuatu tugas lebih pantas, efisien dan selari dengan keperluan semasa.

Rentetan itu, seorang usahawan tempatan, Muhammad Kamil Mohamad Faizar tampil memperkenalkan sistem pengurusan tanaman hidroponik menggunakan teknologi IoT.

Pengasas Kekebun Venture System itu memberitahu, penggunaan IoT membolehkan proses tanaman pokok lebih mudah dikendalikan tanpa perlu risau mengenai proses membaja dan siraman air.

Katanya, proses pembajaan boleh dilakukan secara automatik melalui sambungan paip yang disambung dari tangki nutrien terus ke bahagian akar tanaman.

Menurutnya, larutan baja akan melalui sambungan paip mengikut masa yang telah ditetapkan oleh pengguna.

“Tetapan masa secara automatik ini dilakukan menerusi pemasa digital (timer) daripada sistem IoT.

“Jadi, pengguna boleh menetapkan waktu pembajaan supaya dapat dilakukan secara automatik.

“Menariknya, pemasa digital ini juga boleh membantu proses penyiraman air pada tanaman secara berkala tanpa memerlukan kaedah tradisional,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.

Ia juga dilengkapi Smart Plug iaitu teknologi yang membolehkan sistem itu dihidupkan atau dimatikan secara automatik menggunakan kaedah kawalan jauh.

“Dalam sesetengah konfigurasi, Smart Plug ini boleh dipantau, dikendalikan menerusi telefon pintar.

“Ini membolehkan pengguna bertindak mengawal waktu pam air beroperasi atau berhenti termasuk ketika proses pembajaan, tanpa sebarang seliaan manual.

“Pengguna juga tidak perlu berada di lokasi tanaman untuk kedua-dua proses tersebut. Jadi, mereka tidak perlu risau lagi keadaan tanaman sekiranya pergi bercuti atau pulang ke kampung halaman selama beberapa hari.

“Kewujudan sistem ini juga menjadikan pengguna lebih bersemangat untuk menanam pokok kerana hal penting yang perlu diberi perhatian sudah diselesaikan dengan mudah,” ujarnya.

TANAMAN hidroponik jenis menara aeroponik (kiri) yang dibina secara menegak dan menjimatkan ruang.

DALAM usaha menjadikan pertanian lebih cekap dan mesra alam, tenaga solar turut digunakan untuk membantu proses pengudaraan dan kawalan persekitaran tanaman tanpa perlu bergantung kepada sumber elektrik.

Untuk makluman, tahap pengudaraan dan kelembapan tanaman yang baik penting bagi mengelak pertumbuhan kulat atau penularan penyakit tanaman.

“Tenaga solar digunakan dalam proses pengudaraan atau kawalan persekitaran tanaman supaya lebih jimat tenaga berbanding penggunaan tenaga elektrik.

“Dengan pengudaraan yang lebih baik, kelembapan di sekitar tanaman menjadi lebih stabil, sekali gus membantu mengurangkan risiko dijangkiti kulat dan tanaman mati,” katanya.

Kaedah tanaman hidroponik tidak menggunakan tanah, sebaliknya teknik berkenaan hanya menjadikan span sebagai medium semaian.

Jadi, span tersebut perlu sentiasa dalam keadaan basah. Bagi memastikan span sentiasa basah, Kekebun Venture System telah mencipta pam siraman automatik yang digerakkan dengan tenaga solar.

Menerusi inovasi solar (10 watt) itu, pam siraman boleh beroperasi selama dua hari tanpa cahaya matahari kerana dilengkapi bateri simpanan tenaga solar.

“Sistem solar bukan sahaja menyokong pertanian moden seperti hidroponik, malah membantu masyarakat mengamalkan pertanian lestari di kawasan bandar dan kediaman sendiri,” katanya.

Sementara itu, dengan bantuan teknologi IoT, pengguna tidak perlu lagi berada di kebun untuk menjaga tanaman.

MUHAMMAD KAMIL (tengah) bergambar bersama kakitangan Kekebun Venture System.

Lagi pula, tanaman yang ditanam menerusi kaedah hidroponik mudah dijaga kerana hanya memerlukan sumber air, baja dan cahaya matahari mencukupi.

“Sekiranya cukup ketiga-tiga sumber penting ini, insya-Allah pengguna dapat menuai hasil tanaman yang mereka diinginkan,” katanya.

Antara jenis tanaman yang sesuai ditanam menggunakan kaedah hidroponik adalah sayuran daun seperti salad, sawi, bayam dan kailan, di samping pokok herba seperti pudina, basil serta ketumbar.

Bagi memberikan pilihan kepada pengguna, Kekebun Venture System telah memperkenalkan dua jenis kaedah tanaman iaitu menara aeroponik dan hidroponik dinding.

Menerusi kaedah menara aeroponik, pengguna boleh meletakkan antara 20 hingga 36 pot, manakala hidroponik dinding sekitar 20 hingga 40 pot.

Kedua-dua kaedah tanaman tersebut memiliki perbezaan dari segi reka bentuk dan aliran nutrien.

“Menara aeroponik menggunakan reka bentuk menegak, di mana akar tanaman menerima nutrien melalui semburan halus atau aliran air secara berkala.

“Sistem ini sangat sesuai untuk memaksimumkan penggunaan ruang terutama di kawasan yang sempit seperti balkoni kediaman rumah bertingkat.

“Hidroponik dinding pula dipasang pada struktur dinding atau rangka mendatar. Kaedah ini biasanya menggunakan sistem aliran air nutrien melalui paip atau bekas tanaman.

“Perbezaan kedua-duanya kaedah ini hanya pada reka bentuk, kaedah saliran nutrien serta kesesuaian ruang pemasangan,” ujarnya.

TANGKAP layar video yang menunjukkan sistem penyiraman air dan baja boleh dilakukan secara automatik dengan bantuan teknologi IoT.

Dalam pada itu, bagi memastikan ketahanan produk, Kekebun Venture System telah menghasilkan menara aeroponik daripada bahan plastik berkualiti tinggi seperti PVC (Polyvinyl Chloride) dan polimer yang sesuai untuk penggunaan jangka panjang di luar rumah.

Bahan tersebut dipilih kerana memiliki sifat yang ringan, tahan cuaca dan selamat digunakan untuk tanaman makanan.

“Pemilihan bahan memainkan peranan penting dalam memastikan sistem tanaman berada dalam keadaan stabil.

“Ia juga penting bagi membantu mengurangkan kesan haba cahaya matahari, selain melindungi akar tanaman daripada suhu panas ekstrem.

“Menara aeroponik juga direka dalam bentuk modular bagi memudahkan pemasangan yang melibatkan penyambungan struktur menara, pemasangan pam air, paip pengaliran nutrien serta tangki air.

“Selepas sistem dipasang, pengguna hanya perlu mengisi tangki dengan air dan larutan nutrien, sebelum memasukkan anak pokok ke dalam pot tanaman.

“Struktur yang kukuh dan tahan lasak juga dapat memastikan menara tidak mudah rosak, walaupun digunakan dalam tempoh lama.

“Pada masa sama, ia dapat membantu tanaman membesar dengan lebih konsisten,” katanya.

Bagi hidroponik dinding, bahan PVC berkualiti tinggi turut digunakan untuk membina bekas tanaman agar tahan lasak untuk tempoh lama. Bekas tanaman ini kemudian disambungkan pada komponen rangka besi.

Terdapat satu bekas hitam di bahagian bawah hidroponik dinding yang merupakan kotak simpanan (tangki).

Ia diperbuat daripada plastik jenis High-Density Polyethylene yang tebal untuk menampung larutan baja.

Sementara itu, Muhammad Kamil berharap orang ramai dapat menjadikan pertanian menerusi kaedah hidroponik sebagai hobi, tanpa mengira usia atau jenis kediaman.

“Menikmati hasil daripada tanaman sendiri ini membuatkan kita lebih yakin dengan keselamatan makanan berbanding dibeli di pasar.

“Pada masa sama, ia dapat menggalakkan amalan pertanian, khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

“Apabila kita tanam sendiri sayur, kita boleh tahu waktu semaian dan tuaian terbaik. Ini membolehkan kita menikmati sayur segar berbanding dibeli di kedai,” katanya.

Produk tanaman hidroponik hasil keluaran Kekebun Venture System tidak hanya dipasarkan di seluruh negara, malah ia turut berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura, Brunei dan Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN