fbpx

Atlet para diminta kekal rentak cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Azizah (tengah) menyampaikan plak cenderahati kepada jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly pada Majlis Sambutan Wira dan Wirawati Kontinjen Malaysia Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di KLIA sebentar tadi.

SEPANG – Atlet para negara dijangka mampu menampilkan aksi terbaik menjelang temasya Sukan Paralimpik 2024 yang dijadualkan berlangsung di Paris, Perancis tahun depan sekiranya dapat mengekalkan rentak konsisten.

Pencapaian yang dilakar pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang melabuhkan tirainya semalam membuktikan bahawa barisan atlet negara masih memiliki kemampuan untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail percaya pencapaian di Sukan Para Asia boleh diteruskan pada Paralimpik 2024 nanti jika semua atlet sentiasa bekerja keras dan tidak mudah mengaku kalah.

“Saya rasa sangat bangga kerana mereka berjaya mengatasi setiap kelemahan yang ada. Kita semua tahu bahawa manusia ada kelemahan, namun mereka juga memiliki fizikal dan berjaya mengatasinya (kelemahan).

“Mereka semua berjaya menaikkan nama Malaysia, jadi kita doakan supaya mereka sentiasa sihat. Pencapaian ini boleh diteruskan (di Paralimpik) jika semua atlet ada tekad dan sentiasa berlatih,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Kepulangan Wira dan Wirawati Kontinjen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebentar tadi.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan, Adam Adli Abd. Halim.

Terdahulu, seramai 113 atlet para negara tiba di tanah air menerusi penerbangan sewa khas MH8839 dan komersial MH377 yang masing-masing mendarat pada pukul 8.07 malam (dari Hangzhou) dan 8.23 malam (dari Guangzhou).

Untuk rekod, Malaysia menamatkan Sukan Para Asia 2022 di kedudukan ke-12 daripada 28 negara yang mengambil bahagian selepas meraih 39 pingat keseluruhan termasuk tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI