fbpx
Saiz, berat dan keupayaannya cukup membolehkan Streetfighter V2 bergerak lincah.

Ducati Streetfighter V2: Kelincahan pejuang jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUCATI merupakan satu jenama eksklusif permotoran dari Itali yang datang dengan tanda harga premium. Jentera-jenteranya didatangkan dengan prestasi terbaik dan reka bentuk menarik yang sentiasa mengundang minat ‘pejuang-pejuang dua roda’.

Rekaan-rekaan dari ibu pejabat Ducati di Bologna ini sentiasa hadir dengan penampilan yang begitu menonjol dengan misi untuk menenggelamkan pesaing-pesaing jenama lain.

Walaupun pasaran untuk motosikal superbike kini agak merosot, namun bagi model segmen ‘naked bike’, ia terus berkembang dengan hampir setiap jenama pengeluar motosikal kini miliki model baharu.

Ducati Streetfighter sebagai contoh tidak seperti model-model lain. Rekaan estetikanya dengan menampakkan struktur enjin, casis memberi satu gambaran ganas dan berkarakter.

Ducati sebelum ini pernah mempunyai model Streetfighter yang asas diperkenalkan di pasaran pada tahun 2009. Sehingga hari ini, Ducati menghasilkan enam model Streetfighter. Bermula dengan Streetfighter, Streetfighter S, Streetfighter 848, Streetfighter V4, Streetfighter V4S dan Streetfighter V2.

Sejak masuk ke pasaran, model ini masih unik dan relevan sebagai segmen gabungan motosikal lumba dan jalanan. Selain itu, Streetfighter juga merupakan model tanpa fairing yang memberikan kedudukan menunggang yang lebih selesa berbanding model superbike lain.

Streetfighter V2 yang digelar ‘Pejuang Jalanan’ adalah motosikal kategori ‘naked’. Istilah mudahnya, motosikal superbike yang dibuang fairingnya. Fairing merujuk kepada besi atau plastik luaran pada kerangka motosikal.

Secara asas, V2 adalah versi yang lebih rendah kuasa dan prestasi enjinnya serta harga jualan yang lebih murah berbanding Streetfighter V4.

Jika hendak dibuat perbandingan dengan model Streetfighter V4 yang lebih bersifat aerodinamik, Streetfighter V2 adalah sebagai model aras mula tanpa kehadiran ciri yang disebutkan tadi, namun masih mengekalkan rekaan yang garang.

Menunggang motosikal Streetfighter V2 ini di jalan biasa dan lebuh raya utama jelas sekali dapat beri kelainan kepada penulis. Sifat-sifat pejuang juga jelas terserlah kerana motosikal ini tidak sesuai ditunggang dengan perlahan.

ia didatangkan dengan lampu depan imej mata yang seksi dan DRL LED yang menarik.

Keadaan cuaca negara kita juga menjadikan suhu enjin cepat panas dan memerlukan kita untuk sentiasa bergerak laju bagi menstabilkannya.

Dengan prestasi keupayaan enjin yang dikuasakan oleh nadi Superquadro V2 955cc, ia mampu hasilkan 153hp @ 10,750rpm dan daya kilas 101.4Nm @ 9,000rpm. Ini dapat beri satu daya untuk memintas dengan mudah dan tidak perlu menukar gear, hanya pulas pendikit, anda mampu merasakan kuasa pecutan bagi memotong.

Streetfighter V2 juga didatangkan dengan kotak gear 6 kelajuan dan dilengkapi teknologi Ducati Quick Shift (DQS) EVO 2 bagi mempercepat pertukaran gear tidak kira sama ada untuk menaik atau menuruni jalan.

Ciri-ciri DQS ini sangat popular untuk sebuah motosikal moden tanpa perlu untuk menarik klac, selain memberi pengalaman seperti menunggang motosikal perlumbaan.

Dengan berat hanya 178 kg dan kapasiti tangki petrol sebanyak 17 liter, Streetfighter V2 boleh dikategorikan berada pada tahap motosikal berkuasa tinggi yang ringan.

Dengan ketinggian tempat duduk 845 milimeter (mm) bagi penulis yang berketinggian 5 kaki 7 inci adalah normal dan membolehkan kedua-dua belah kaki berada di atas tanah. Ini sama sekali tiada masalah semasa menunggang dan sebenarnya menjadikan kedudukan tunggangan yang selesa.

Selain itu, bagi sistem pencahayaan, ia turut disertakan lampu LED penuh dengan lampu nyalaan siang hari. Lampu-lampu LED ini begitu memberikan satu gambaran karakter hidup bagi sebuah jentera moden. Ini seterusnya memberi pancaran baik bagi penggunaan jentera pada waktu malam.

Didatangkan dengan tiga mod iaitu hujan, jalan raya dan sports, di sinilah fungsi atau ciri-ciri penting pada sebuah motosikal iaitu dengan mempunyai pilihan dalam menentukan mod sesuai dengan keadaan cuaca atau jalan selain kesesuaian gaya tunggangan anda.

Bagi sistem suspension, ia dilengkapi dengan penyerap hentakan jenis terbalik (upside down forks) 43mm Showa dan penyerap hentakan tunggal belakang Sachs yang boleh dilaras sepenuhnya bagi membolehkan penunggang membuat tetapan untuk tunggangan yang lebih selesa.

Lampu LED belakang dengan rekaan dua lubang di bawah pelana belakang.

Papan pemuka skrin meter TFT berwarna 4.3 inci adalah jelas dan mudah dibaca yang memaparkan kelajuan, revs, gear semasa, suhu, masa dan jarak tempuh.

Namun begitu, agak menyedihkan kerana pengeluar tidak meletakkan tolok bahan api meter TFT pada jentera ini.

Secara peribadi, penulis merasakan perlunya tolok bahan api bagi membolehkan penunggang merancang perjalanan untuk mengisi bahan api pada motosikal.

Dari segi kedudukan, meter TFT pula diletakkan sedikit ke bawah bagi membolehkan penunggang untuk menumpukan tunggangan ke jalan raya tanpa selalu beralih melihat meter.

Dengan saiz rim 17 inci dan dibaluti tayar Pirelli Diablo Rosso IV, dilengkapi sistem brek angkup Brembo Monobloc M4.32 empat omboh dengan sepasang rotor 320mm di depan serta angkup Brembo omboh berkembar dengan rotor tunggal 245mm di belakang dapat memberi keberkesanan kepada cengkaman yang mantap bagi penggunaan di jalan raya.

Bagi tunggangan di selekoh panjang mahupun pendek jelas ia dapat dilakukan dengan baik. Keadaan jentera dapat dirasakan begitu stabil dengan keupayaan meleper pada selekoh-selekoh dengan bantuan Bosch Cornering ABS EVO dan peredam stereng Sachs. Bagaimanapun, membuat pusingan U adalah sedikit sukar ekoran sudut radius pusingan hendal yang agak besar.

Dari segi kedudukan tunggangan, kedudukan menunggang Streetfighter lebih agresif tetapi tidaklah kedudukan yang ekstrem seperti menunggang sportbike yang lebih tertunduk.

Untuk menempuh di kawasan bandar, tunggangan memberi sedikit tekanan pada bahu dan pergelangan tangan, maka lebih sesuai ditunggang di lebuh raya dengan kelajuan tinggi.

Bagi sebuah motosikal jalanan yang sempurna, Streetfighter V2 mungkin boleh menjadi pilihan tetapi faktor gaya hidup dan keperluan pasti menjadi penentu kesesuaian sebuah jentera.

Untuk sesetengah penunggang, V2 ini hanya sebuah jentera biasa, namun bagi peminat segmen ‘naked’ ia adalah jentera yang berkarakter dengan konsep lebih ‘pejuang’ daripada ‘jalanan’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN