fbpx
BAGAIKAN wilayah yang terkunci mati apabila seluruh sempadannya dengan Israel terhalang dengan pagar besi serta lautan dan udaranya dikawal Israel, Semenanjung Gaza, Palestin kini menyandarkan harapan hanya kepada satu-satunya pintu yang menghubungkannya dengan dunia luar iaitu pintu Rafah yang bersempadan dengan Mesir untuk menerima masuk bantuan. Peta menunjukkan dua pintu keluar-masuk Gaza sebelum ini telah ditutup Israel.

Rafah pintu ‘hidup-mati’ penduduk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA pagi 7 Oktober lalu, Aylol Abo Elwan, 27, menggunakan satu-satunya pintu sempadan keluar dari Semenanjung Gaza, Palestin ke Mesir iaitu pintu Rafah untuk berjumpa dengan seorang doktor pakar di Kaherah.

Ketika anak kelahiran Gaza itu berada jauh dari rumahnya, peluh dingin mula membasahi tubuh lelaki itu tatkala mendengar berita Hamas menyerang wilayah Israel sekali gus berasakan Gaza akan diserang balas oleh rejim Zionis.

“Saya bimbang sekiranya Israel menyerang Gaza. Perang di Gaza adalah amat teruk, mereka (Israel) mengebom dan memusnahkan semuanya,” katanya kepada agensi berita Al-Jazeera.
Israel mahu membalas dendam selepas 1,400 penduduknya terbunuh dalam serangan roket Hamas itu.

Ketika serangan tersebut mula menjadi tajuk-tajuk utama akhbar dan berita televisyen, Aylol dan abangnya yang menemaninya ke Mesir mahu bergegas pulang ke Gaza untuk berada di sisi ahli keluarga mereka yang lain.

Namun, dia bersama ratusan penduduk Palestin yang lain tersekat di pintu sempadan Rafah, selepas Israel mengebomnya.

“Pasport kami sudah pun dicop dan kami hampir kembali ke Gaza ketika Israel mengebomnya,” katanya yang jelas mendengar bunyi letupan di Gaza dari sempadan.

Sejak 8 Oktober lalu, sempadan Rafah telah menerima serangan udara Israel, memaksa Mesir menutupnya demi memastikan keselamatan orang awam dan menutup laluan itu sepenuhnya pada 10 Oktober.

Di saat penduduk Gaza terperangkap tidak boleh keluar dari wilayah itu dan Israel bertindak kejam mengebom kawasan kediaman dan hospital selain mengenakan sekatan bekalan air, elektrik serta makanan sepenuhnya, masyarakat antarabangsa mendesak supaya pintu Rafah dibuka agar bantuan luar dapat segera memasuki Gaza.

Setelah kira-kira dua minggu, hanya pada Sabtu lalu barulah pintu sempadan Rafah dibuka semula, itu pun dengan hanya membenarkan kemasukan 20 lori bantuan ke Gaza.

Pintu Rafah di bahagian Mesir dibanjiri ratusan trak yang membawa bantuan ke Gaza.

Dalam perang, pintu di sempadan Gaza dengan padang pasir Sinai, Mesir itu disifatkan sebagai satu-satunya ‘pintu hayat’ penduduk Gaza untuk ‘melepaskan diri’ kerana tidak bersempadan dengan Israel.

Gaza merupakan satu wilayah kecil Palestin berkeluasan cuma 365 kilometer persegi, namun mempunyai populasi penduduk lebih 2.3 juta, sekali gus menjadi salah satu daripada lokasi paling padat penduduk di dunia.

Secara literalnya, Gaza boleh disifatkan ‘penjara terbuka terbesar’ di dunia. Ini kerana, menurut Alarabiya News, seluruh sempadan Gaza dan Israel iaitu sepanjang kira-kira 65 kilometer dipagari pagar besi, kamera dan sensor elektrik. Israel juga mengawal sepenuhnya lautan dan udara Gaza.

Di bahagian selatan, Gaza yang bersempadan dengan Mesir terhalang dengan dinding besi sepanjang 14 kilometer dan sesetengahnya juga terdapat konkrit dengan ketinggian tiga hingga lapan meter tinggi dilengkapi dawai berduri.

Di sempadan Gaza-Mesir itulah terletaknya pintu Rafah.

Sejak bertahun-tahun lamanya, laluan itu telah menjadi laluan utama bagi penduduk Gaza untuk pergi ke dunia luar dengan Mesir berfungsi sebagai titik transit untuk menuju ke negara lain atau sebagai hab untuk menerima rawatan perubatan.

Menurut seorang penduduk Gaza yang hanya memperkenalkan diri sebagai Mostafa, laluan itu pada kebiasaannya merupakan laluan yang sukar untuk direntasi.

“Penduduk Gaza perlu mendapat kebenaran untuk memasuki Mesir, dan proses itu boleh mengambil masa sehingga empat bulan, lebih-lebih lagi jika anda tidak membayar seseorang untuk membenarkan anda masuk dengan cepat,” kongsinya sambil menambah lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun adalah paling sukar untuk mendapatkan permit masuk ke Mesir melalui pintu Rafah.

Minggu lalu, ratusan lori yang membawa bekalan makanan, minuman, ubat-ubatan dan juga bantuan kemanusiaan terpaksa menunggu di sempadan itu untuk memasuki Gaza.

Pintu Rafah dibina oleh kerajaan Mesir dan Israel pada tahun 1979 selepas Perjanjian Keamanan Israel-Mesir.

Sebelum peperangan Israel-Palestin meletus awal bulan ini, terdapat dua sempadan antara Israel dan Gaza iaitu Erez untuk pergerakan keluar dan masuk orang awam dan juga Kerem Shalom untuk penghantaran barang.

Namun, kedua-dua laluan itu telah pun ditutup.

Erez yang terletak di utara Gaza dan bersempadan dengan Israel merupakan satu-satunya laluan untuk penduduk Gaza ke satu lagi wilayah Palestin, Tebing Barat.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal-Ehwal Kemanusiaan, kawalan ketat ke atas penduduk Gaza telah dilakukan sejak 1990-an lagi dan Israel semakin memperketat pada 2007 apabila Hamas mengambil alih Gaza.

Sebelum ini, terdapat tiga laluan keluar lain oleh penduduk Gaza ke Israel tetapi semuanya telah ditutup.

Pintu Kissufim ditutup sepenuhnya pada tahun 2005 diikuti Nahal Oz ditutup pada 2010 dan Karni ditutup pada 2011.

Pintu Rafah dikendalikan oleh Mesir, namun masih tertakluk kepada kebenaran Israel dalam kemasukan barangan.

Kebiasaannya, pergerakan melalui pintu Rafah adalah amat terhad, yang mana hanya penduduk Gaza yang mempunyai permit dan orang luar sahaja yang boleh menggunakan laluan itu untuk merentas antara Gaza dan Mesir.

Angka PBB menunjukkan, purata 27,000 orang melintasi Pintu Rafah setiap bulan pada tahun ini.

Seorang warga Gaza, Jason Shawa menceritakan kepada CNN betapa sukarnya untuk keluar dari pintu Rafah secara normal.

“Individu perlu dapatkan permit keluar dari Hamas dan permit masuk dari Mesir. Selepas pergi ke pejabat Hamas untuk kemuka dokumen, beberapa hari selepas itu terima mesej telefon bimbit bila hari untuk keluar iaitu kira-kira tiga bulan selepas itu.

“Pada hari untuk keluar pula, sebuah bas akan membawa individu terbabit dari kawasan Palestin ke kawasan Mesir yang kemudian memerlukan mereka menunggu berjam-jam lamanya untuk pihak berkuasa Mesir menerima dan memproses dokumen. Di sinilah kebanyakan orang tidak sanggup dan berpatah balik,” katanya.

Profesor Madya Pengajian Islam dan Timur Tengah di Universiti Hebrew, Jerusalem, Simon Wolfgang Fuchs berkata, pihak berkuasa Mesir takut sekiranya Israel mengusahakan rancangan untuk menempatkan semula penduduk Palestin di Sinai.

Walaupun Mesir bersedia membuka lintasan Rafah bagi membolehkan pemegang pasport asing keluar dan bantuan kemanusiaan masuk, Kaherah tetap bimbang tindakan tersebut boleh mengakibatkan berlakunya kemasukan besar-besaran pelarian Palestin.

Malah, Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi berkata, tindakan itu akan mendedahkan Sinai terhadap serangan Israel.

“Gaza adalah di bawah kawalan Israel dan rakyat Palestin sebaliknya boleh dipindahkan ke padang pasir Negev, Israel sehingga isu peperangan ditangani,” katanya.

Abdel Fattah menekankan keselamatan negara adalah ‘tanggungjawab utamanya’ dan menyeru warga Gaza untuk terus ‘teguh dan kekal di tanah mereka’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN