fbpx

Busana uniseks klasik, moden Aizat Saha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Koleksinya turut dikeluarkan dalam bentuk sut baju dan seluar.

RINGKAS, minimalis dan selesa merupakan tiga ciri yang sering menjadi kriteria penting dalam pemilihan pakaian harian.

Selain tiga ciri itu, rekaan atau potongan pakaian harian juga haruslah menarik bagi memastikan ia boleh digayakan secara santai.

Biarpun masih baharu dalam industri fesyen tempatan, label Heetam Puteh semakin hangat memandangkan ia mempertaruhkan seleksi busana yang ‘klasik tetapi moden’.

Sesuai buat mereka yang mahu tampil ringkas dan selesa, setiap helaian busananya diberi sentuhan moden, seiring jiwa serta kehendak lelaki dan wanita alaf baharu.

Pengasas Heetam Puteh, Mohd. Aizat Saharuddin, 28, atau lebih dikenali sebagai Aizat Saha berkata, kecintaannya terhadap rekaan klasik telah mendorongnya untuk membawakan gaya itu pada label pakaian diasaskannya dengan sedikit sentuhan moden.

AIZAT SAHA menyatakan warna hitam dan putih merupakan warna kegemarannya.

Aizat Saha juga merupakan seorang pempengaruh yang namanya ‘meledak’ baru-baru ini.

“Saya amat menyukai gaya pakaian yang klasik, namun memandangkan kita sekarang berada di era yang moden, maka saya berhasrat untuk menggabungkan gaya klasik itu, namun dengan sedikit sentuhan moden.

“Ini supaya busana itu sesuai untuk dipakai dan digayakan sebagai gaya harian,” katanya.

Heetam Puteh yang diasaskan Aizat Saha pada tahun lalu itu sehingga kini sudah pun mengeluarkan empat koleksi, yang setiap satunya merupakan rekaan Aizat sendiri.

“Sehingga kini, kami sudah pun memperkenalkan empat koleksi iaitu koleksi yang diberi nama PERTAMA, AKAR, NYAWA dan juga HEETAM,” kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Rekaan yang bersifat uniseks membolehkannya dipakai berpasangan.

Secara peribadinya, Aizat berkata dia amat menyukai koleksi keduanya iaitu AKAR yang merupakan sepasang sut.

“AKAR merupakan sepasang sut baju dan seluar yang dihasilkan dalam tiga rona berbeza iaitu hitam, putih dan juga hijau mint.

“Potongannya yang longgar dengan perincian kolar mandarin menjadikan ia cukup sesuai digayakan dalam cuaca Malaysia,” katanya.

Menariknya, selain mempertaruhkan gabungan rekaan moden dan klasik, setiap busana Heetam Puteh juga adalah bersifat uniseks dan boleh digayakan oleh lelaki dan juga wanita.

Jelas Aizat, dia menghasilkan pakaian uniseks supaya setiap helaian tersebut boleh dipakai bersama-sama yang tersayang.

“Saya mahukan rekaan yang klasik, moden, namun dalam masa yang sama, potongannya itu bersifat bebas dan sesuai digayakan sama ada oleh lelaki, mahupun wanita.

“Ini kerana saya mahu setiap busana Heetam Puteh ini boleh digayakan secara sedondon bersama-sama dengan insan tersayang,” katanya.

Ditanya tentang pemilihan nama Heetam Puteh bagi label pakaiannya, Aizat berkata perkataan tersebut adalah diambil daripada dua warna kegemarannya iaitu hitam dan putih.

Tambahnya, warna hitam dan putih merupakan dua rona klasik dan cukup bersesuaian dengan label pakaian itu.

Koleksi Heetam Puteh dijual pada harga antara RM89 sehingga RM139 dan boleh dibeli menerusi laman web Heetam Puteh dan juga Shopee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI