fbpx
UMMI AZIZAH bersama koleksi rekaannya yang berteraskan konsep dualiti.

Kimono gothic konsep dualiti Ummi Azizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia fesyen yang sentiasa berevolusi, gabungan dua identiti berbeza sering menjadi nadi kepada penciptaan yang segar dan berani.

Itulah yang diterjemahkan oleh pereka muda, Ummi Azizah Mohammad Suhainin, 26, menerusi koleksi terbaharu yang berteraskan konsep dualiti iaitu pertembungan antara elemen ancestral dan gothic.

Menurutnya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, koleksi ini bukan sekadar eksperimen gaya tetapi satu naratif visual yang menyeimbangkan kelembutan tradisi dengan kekuatan emosi yang gelap dan dramatik.

Dalam tafsiran Ummi Azizah, kimono melambangkan warisan budaya yang tenang dan teratur, manakala estetika gothic pula membawa dimensi emosi yang lebih mendalam dan berani.

Apabila kedua-duanya digabungkan, lahirlah identiti unik yang mencerminkan keseimbangan antara dua dunia berbeza.

“Pemilihan kimono sebagai sumber inspirasi bukanlah sesuatu yang kebetulan. Struktur ikonik dan nilai tradisinya menjadikan ia asas yang kukuh untuk diterokai semula.

“Dalam koleksi ini, saya mengekalkan siluet asas kimono serta konsep lapisan yang sinonim dengan saya, namun pada masa sama memperkenalkan sentuhan moden melalui teknik potongan yang lebih kontemporari,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, selain menggabungkan elemen seperti korset dan gaya pemakaian yang lebih bebas. Pendekatan ini menjadikan rekaan lebih segar tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Pengaruh gothic pula diterjemahkan secara jelas melalui siluet yang dramatik seperti potongan bersaiz besar dan permainan lapisan yang berani.

Dia yang menceburi dunia fesyen kerana minat dalam bidang jahitan berkata, warna hitam dipilih sebagai palet utama bagi menonjolkan suasana misteri dan kekuatan dalaman.

“Dari segi tekstur, teknik seperti quilting digunakan untuk menambah dimensi serta struktur pada pakaian.

“Hasilnya, setiap helaian bukan sahaja menarik dari segi visual tetapi juga kaya dengan perincian yang memberi kedalaman kepada keseluruhan koleksi,” ujarnya.

Namun, menggabungkan dua gaya yang berbeza bukanlah sesuatu yang mudah. Cabaran terbesar yang dihadapi oleh Ummi Azizah adalah memastikan keseimbangan antara elemen tradisional dan moden ini tidak berat sebelah.

Setiap rekaan memerlukan perhatian teliti terhadap proporsi, pemilihan material dan teknik lapisan agar kedua-dua identiti dapat diserlahkan secara harmoni.

Proses kreatifnya bermula dengan penyelidikan mendalam serta pembinaan moodboard yang berasaskan konsep dualiti.

Dari situ, lakaran awal dihasilkan sebelum melalui fasa pembangunan siluet dan eksperimen rekaan. Pemilihan fabrik menjadi langkah penting sebelum koleksi akhir direalisasikan.

Dalam menyampaikan naratif Ummi Azizah memberitahu, antara kelembutan kimono dan kekuatan gothic, pemilihan fabrik memainkan peranan utama.

“Fabrik seperti kapas linen digunakan bagi mengekalkan sifat ringan dan aliran lembut kimono, manakala kapas wool dipilih untuk memberikan struktur yang lebih berat, selari dengan karakter gothic.

“Gabungan ini menghasilkan kontras yang menarik, sekali gus memperkukuhkan mesej dualiti yang ingin disampaikan,” kongsinya.

Lebih daripada sekadar estetika, koleksi ini membawa mesej yang mendalam tentang identiti. Ummi Azizah percaya bahawa seseorang individu tidak terhad kepada satu sifat sahaja tetapi seseorang boleh menjadi lembut dan kuat dalam masa yang sama.

Melalui rekaannya, dia ingin menunjukkan bahawa tradisi tidak perlu dilupakan, sebaliknya boleh diolah semula agar kekal relevan dan lebih peribadi, khususnya untuk generasi masa kini.

Berkongsi tentang golongan sasaran, Ummi Azizah memberitahu, koleksi ini disasarkan kepada golongan muda berusia antara 20 hingga 35 tahun yang kreatif dan berani mengekspresikan diri.

“Bagi mereka, fesyen bukan sekadar pakaian tetapi medium untuk menyampaikan identiti dan keyakinan.

“Saya melihat rekaan ini sebagai platform untuk pemakai tampil berbeza dan menonjolkan keunikan diri masing-masing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN