fbpx

Anak 3 orang, tapi rumah belum siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pembeli rumah mengadakan demonstrasi aman di hadapan projek perumahan Taman Desa Idaman, Santong, Paka, Dungun semalam.

DUNGUN – Peribahasa ‘bagaikan menanti buah yang tidak gugur’ sesuai digunakan untuk menggambarkan situasi 20 pembeli apabila projek perumahan Taman Desa Idaman, Santong, Paka di sini masih belum siap walaupun telah enam tahun me­nunggu.

Projek perumahan yang me­ngandungi 130 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat ter­babit sepatutnya sudah boleh diduduki pada 2019.

Salah seorang pembeli, Nor Suraya Mohd Hanafiah, 33, mendakwa, projek perumahan itu seakan-akan terbengkalai dengan progres kemajuan setiap unit rumah sekadar antara 40 hingga 70 peratus.

Dakwanya, dia dan suami membeli rumah tersebut pada tahun pertama perkahwinan mereka.

“Waktu itu, anak sulung saya baru dilahirkan, namun rumah impian kami masih tidak siap-siap walaupun dia kini sudah bersekolah darjah satu selain memiliki dua adik.

“Kami terpaksa terus me­netap di rumah sewa di Kampung Nyior di sini,” dakwanya.

Nor Suraya mendakwa, tambah membebankan apabila mereka tetap perlu membayar ansuran pinjaman perumahan.

Seorang lagi pembeli, Ahmad Faizal Abdul Aziz, 38, berkata, dia tidak menyangka projek perumahan tersebut bermasalah sedangkan ia dibina oleh pemaju terkemuka.

Dakwanya, berdasarkan janji, projek perumahan tersebut akan siap pada hujung tahun ini sebelum mereka dijanjikan akan me­nerima kunci rumah masing-masing pada awal tahun depan.

“Sukar untuk kami percaya kerana pemerhatian mendapati kerja-kerja penyambungan pembinaan masih belum dimulakan lagi.

“Bagaimana projek perumahan itu hendak siap seperti dijanjikan sedangkan sekarang sudah akhir Oktober?” dakwanya.

Difahamkan projek perumahan Taman Desa Idaman me­ngalami masalah ekoran kegagalan kontraktor terdahulu yang ditamatkan kerja pada 23 Ogos lalu.

Dipercayai, syarikat perumahan kini dalam proses melantik kontraktor baharu bagi menyelesaikan baki kerja-kerja pembinaan projek perumahan terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI