fbpx

Aaron-Wooi Yik lega tiada lagi soalan sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kanan) dan Wooi Yik meraikan kejayaan muncul juara selepas menewaskan gandingan Indonesia, Shohibul-Bagas pada Terbuka Denmark di Arena Fyn, Odense kelmarin.

SELEPAS mula digandingkan sejak 2017, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhir­nya menamatkan penantian meraih gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) selepas memenangi Terbuka Denmark.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Fyn, Odense malam kelmarin, bekas juara dunia itu menampilkan aksi cukup mantap bagi menewaskan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana menerusi keputusan 21-13, 21-17.

Justeru, Aaron mengakui dia berasa sangat lega dengan kejuaraan itu memandangkan tidak perlu lagi menjawab persoalan mengenai bilakah mereka akan memenangi kejuaraan pertama dalam saingan Jelajah Dunia.

“Memang satu kelegaan yang amat sangat kerana tidak ada lagi soalan mengenai bilakah kami akan dapat kejuaraan pertama dalam Jelajah Dunia. Mungkin selepas ini mereka akan tanya bilakah mahu dapatkan gelaran kedua dan ia akan jadi motivasi untuk kami.

“Sepanjang lima atau enam tahun kami bergandingan, kami sudah dapat gelaran pada kejohanan-kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia. Bagaimanapun, kami sentiasa mencari gelaran pada Jelajah Dunia dan saya percaya ini adalah permulaan,” katanya kepada BWF.

Selain menjadi kejuaraan sulung pada Jelajah Dunia, kemenangan itu juga merupakan gelaran pertama Aaron-Wooi Yik dalam saingan musim ini selepas tiga kali bergelar naib juara pada Terbuka India, Terbuka Indonesia dan Terbuka China.

Aaron menjelaskan, permainan dia dan Wooi Yik sudah semakin konsisten, sekali gus memberi lebih keyakinan kepada mereka menjelang kejohanan Terbuka Perancis yang dijadualkan bermula hari ini.

“Apa yang paling penting adalah konsistensi dan ia sudah dapat dilihat sepanjang aksi pada Terbuka Denmark. Sekarang kami hanya perlu kekalkan aksi seperti ini pada kejohanan-kejohanan akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Wooi Yik berkata, mereka memberi sepenuh fokus terhadap tiga pukulan pertama pihak lawan pada aksi final tersebut memandangkan ia merupakan antara kelebihan dimiliki Fikri-Maulana.

“Sejak set pertama kami berjaga-jaga dengan tiga pukulan pertama mereka selain tidak buat silap. Pertahanan kami juga bagus hari ini dan ia beri kelebihan kepada kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI