KUALA LUMPUR – Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail akhirnya menamatkan penantian selama tiga tahun untuk kembali menjuarai Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia selepas muncul juara kategori terbuka di Sunway Megalanes, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir dengan penuh bermakna apabila Rafiq menewaskan Chong Jun Foo 255-225 pada aksi final, sekali gus menghadiahkan kejuaraan sulungnya musim ini selain mengukuhkan peluang untuk membarisi skuad negara ke Kejohanan Asia.
Lebih manis, kemenangan tersebut menyaksikan Rafiq meraih gelaran ketiga Terbuka Malaysia sepanjang kariernya selepas kali terakhir muncul juara tiga tahun lalu.
“Perasaan memang gembira. Ini kali ketiga saya menang Terbuka Malaysia dan kejohanan ini juga menjadi salah satu pemilihan ke Kejohanan Asia. Jadi ia sangat penting buat saya dan rakan-rakan lain. Saya rasa puas hati kerana berjaya menang kali ini,” katanya.
Kejayaan tersebut turut menamatkan kemarau podium Rafiq musim ini selepas sebelum ini beberapa kali terkandas meskipun mempamerkan prestasi memberangsangkan.
“Ini gelaran pertama dan podium pertama saya musim ini. Sebelum ini ada beberapa kejohanan yang saya hampir berjaya, jadi kemenangan ini memberi sedikit kelegaan dan membuktikan saya masih mampu bersaing di tahap tertinggi.
“Ini permulaan yang baik dan saya harap dapat meneruskan momentum ini pada kejohanan-kejohanan akan datang,” ujarnya yang ditemui pemberita selepas kejayaan tersebut.
Selepas ini, Rafiq tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kejayaan tersebut apabila bakal berlepas ke Singapura bagi mempertahankan gelaran Terbuka Singapura yang dimenanginya tahun lalu.
Sementara itu, atlet boling pelapis negara, Qurratu’Ain Izdihar Mohd. Pozi mencipta kejutan apabila merangkul kejuaraan sulung kategori wanita selepas menewaskan rakan senegara, Adania Redwan 226-185 pada aksi final.
“Saya sangat gembira kerana tidak menjangka dapat beraksi sebaik ini. Sejak pusingan pertama semalam, saya berjaya menemui rentak permainan dan hari ini saya hanya fokus untuk mengekalkannya serta mengambil satu langkah pada satu masa,” katanya. KOSMO! ONLINE














