fbpx

Sumbangan rakyat Malaysia dihantar terus ke Gaza – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan di bawah jabatannya kepada Global Peace Mission (GPM) di gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), hari ini. Foto oleh AMREE AHMAD/KOSMO!

SEPANG – Kerajaan memberi jaminan bahawa segala sumbangan rakyat Malaysia untuk misi bantuan kemanusiaan rakyat Palestin akan dihantar terus ke Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kesemua barang berkenaan sudah ditapis terlebih dahulu mengikut syarat ditetapkan kerajaan Mesir yang dikumpulkan menerusi Ops Ihsan hasil kerjasama 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

“Insya-Allah, kita berharap mendapat kebenaran daripada kerajaan negara itu untuk trak diuruskan NGO Malaysia boleh masuk ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di bawah jabatannya kepada Global Peace Mission (GPM) di gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini hari ini.

Ini termasuk sumbangan tunai berjumlah RM100,000 untuk kegunaan dan keperluan bagi peralatan kesihatan selain perubatan kepada rakyat Palestin terkesan itu di wilayah Gaza.

Setakat ini, mereka berjaya mengumpulkan lebih 35 tan bernilai RM1.3 juta dengan sebahagian besarnya merupakan barangan bayi dan peralatan bukan makanan.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pihak sekretariat itu menyasarkan sejumlah 50 tan barangan dan bakal dihantar menerusi satu penerbangan khas ke Mesir pada Jumaat ini.

Menyentuh sekiranya ada barangan ditolak pihak berkuasa Mesir atas faktor keselamatan, beliau berkata, barangan itu akan diagihkan kepada keluarga warga Palestin yang menetap di Malaysia.

Dianggarkan lebih 5,000 rakyat Palestin tinggal di seluruh Malaysia dan kebanyakan ialah pelajar tajaan khas dalam pelbagai bidang di beberapa institusi pengajian tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI