fbpx

Dewan Rakyat: PDRM buka 104 kertas siasatan kes 3R

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 104 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) setakat ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan itu termasuk yang membabitkan Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Beliau turut menerangkan, kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak menyentuh isu 3R adalah jelas.

“Nak cakap tentang bangsa kita, kasih sayang pada bangsa, bangsa kita mesti rajin dan terus maju, tingkat martabat dan kemuliaan tiada salah apa pun. Teruslah bercakap.

“Yang tak boleh kalimah macam ini. Mengundi Pakatan Harapan (PH) adalah bahaya kerana PH menaja kumpulan Yahudi. Sepanjang 22 bulan memerintah, PH telah merungkai Perlembagaan Persekutuan, buang Islam, cabar hak keistimewaan orang Melayu.

“Jadi polis terpaksa buka siasatan sebab ada aduan. Apa kalimah nak cakap tentang bangsa Melayu, Islam agama suci murni silakan, tetapi sampai kepada bahaya PH kerana menaja kumpulan Yahudi dan menyebabkan Kristianisasi di Malaysia maka ada aduan dibuat.

“Polis siasat ini maka dipanggilah. Tiadalah hina dipanggil ke balai polis, bagi satu dua kenyataan habislah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh-PH) mengenai hak dan kebebasan rakyat Malaysia untuk bercakap tentang isu 3R.

Walaubagaimanapun, kata Saifuddin, bercakap mengenai soal memperjuangkan nasib orang Melayu atau mendokong sistem beraja tidak bercanggah dengan undang-undang.

“Jadi bila KPN kata jangan sebut langsung, saya fikir kenyataan itu tidak tepat. Saya minta menteri beritahu KPN dan jelaskan ia boleh sebab kita ada hak dan kebebasan untuk bersuara,” katanya.

Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, Muhyiddin bersama beliau dalam kerajaan PH selama 22 bulan dan meminta Ahli Parlimen Pagoh itu mengingati sama ada terdapat usaha kerajaan PH ketika itu untuk membuang Islam.

“Cuba kita `recall’ balik dalam tempoh 22 bulan ada tak sebarang kertas jemaah menteri nak rungkai perlembagaan dan buang islam. Tiada, tetapi ini yang diungkap oleh kerana itu aduan dan siasatan dibuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI