fbpx

Tubuhkan Jawatankuasa Pemandu kemudi empat negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan kepimpinan tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-69, di Pusat Konvensyen Idea. -Foto SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM- Pas menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi mengemudi hala tuju empat buah negeri yang diperintah mereka ketika ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut adalah untuk memastikan pentadbiran Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu mengikut kehendak parti.

“Ini adalah selaras dengan Fasal 40(8)(d) Perlembagaan Pas iaitu, menyedia dan mengemukakan rancangan-rancangan, polisi-polisi dan menentukan sikap serta pendirian Perhubungan Pas Negeri itu yang sesuai dengan dasar dan tujuan Pas kepada ahli-ahli parti yang menjadi pemutus dalam sesebuah negeri yang dikuasai oleh Pas.

“Dan meneliti perjalanan kerajaan selaras dengan kehendak parti,” katanya dalam ucapan pergulungan Presiden Pas pada Muktamar Pas ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan dianggotai pimpinan Pas Pusat yang mahir dalam bidang tertentu serta tokoh-tokoh terpilih bagi memandu kerajaan negeri.

“Selain penubuhan jawatankuasa ini, Pas Pusat telah memutuskan kesemua Menteri Besar harus hadir pada mesyuarat Dewan Harian bagi mendapatkan makluman pentadbiran kerajaan negeri masing-masing.

“Sebelum ini, mesyuarat tersebut hanya dihadiri Presiden, Timbalan dan Naib Presiden serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sahaja. Menteri Besar wajib hadir mesyuarat ini,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang itu meminta kesemua ahli parti supaya memberikan sokongan kepada kesemua Menteri Besar, supaya pentadbiran empat negeri tersebut dapat dijalankan dengan lebih baik.

Abdul Hadi juga memberi peringatan kepada ahli, iaitu tidak sesekali cuba bersetongkol dengan parti lawan untuk menjatuhkan kerajaan negeri berkenaan.

“Saya harap ahli Muslimat juga dapat membantu kerajaan negeri ini. Sekiranya ada masalah, selesaikan secara baik dan dalaman sahaja,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI