fbpx

Konflik Palestin-Israel: Penduduk selatan Lebanon berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang budak lelaki berjalan di halaman sekolah yang didiami beberapa keluarga di bandar Tire, selatan Lebanon Khamis lalu. - AFP

BEIRUT, Lebanon – Terkejut melihat gambar kanak-kanak terbunuh akibat pengeboman di Gaza, Mustafa Al-Sayyid segera memindahkan keluarganya ke tempat perlindungan terdekat selepas askar Israel mula menyerang kampungnya di selatan Lebanon minggu ini.

“Setelah melihat pembunuhan kanak-kanak Gaza di kaca televisyen, ia mematahkan hati saya,” kata lelaki berusia 53 tahun itu yang tinggal di Beit Lif, 6 kilometer dari sempadan Israel.

“Jika tidak takut perkara ini akan berlaku kepada kami, saya tidak akan meninggalkan rumah.

“Semua anak-anak saya masih kecil. Jika berlaku serangan, bagaimana saya mampu menyelamatkan mereka semua dalam satu masa? Jadi saya fikir, lebih baik berpindah sekarang,” katanya yang mempunyai dua isteri dan 11 anak dengan separuh daripada mereka berusia bawah 10 tahun.

Keluarga Al-Sayyid adalah antara hampir 4,000 orang yang melarikan diri dari lokasi serangan berhampiran sempadan Israel menuju ke bandar selatan Tyre.

Separuh daripada pelarian itu tinggal di tiga sekolah awam yang diubah suai menjadi tempat perlindungan sementara, manakala selebihnya berlindung di rumah saudara-mara atau rakan mereka.

Skala pemindahan meningkat sejak Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu. Kira-kira 4,385 rakyat Palestin terutamanya orang awam terbunuh akibat pengeboman tanpa henti Rejim Zionis, demikian menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Ketegangan telah merebak ke sempadan Lebanon-Israel di mana serangan yang berlaku hampir setiap hari telah mengosongkan seluruh kampung. 

Sekurang-kurangnya 22 orang termasuk empat orang awam terbunuh di Lebanon, manakala tiga askar dan satu orang awam telah mati di pihak Israel. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI