DALAM perkahwinan, tidak semua pasangan dianugerahkan kebahagiaan.
Malah, ada yang berhadapan dengan kesengsaraan apabila dikurniakan pasangan yang tidak bertanggungjawab.
Seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Mala antara insan yang bernasib malang dalam perkahwinan.
Menurutnya, sepanjang lebih 25 tahun berkahwin, dia langsung tidak dilayan selayaknya sebagai seorang isteri.
“Saya sebenarnya tidak bernasib baik dalam pelajaran dan terpaksa berhenti sekolah atas faktor kemiskinan keluarga.
“Apabila berusia awal 20-an, saya telah diminta oleh ibu bapa saya untuk berkahwin dengan lelaki yang saya tidak kenali,” kongsi Mala yang kini berumur awal 50-an.
Tambahnya, dia tidak membantah keputusan keluarga dan berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya tanpa mengenali secara lebih mendalam terlebih dahulu.
Mala mengakui, mengahwini lelaki tersebut adalah satu kesilapan terbesar yang berlaku dalam hidupnya.
Setelah berkahwin, dia baru mengetahui akan sifat sebenar suaminya itu.
“Suami saya adalah seorang yang panas baran, suka berjudi dan juga kaki perempuan.
“Disebabkan sifatnya yang panas baran, saya sering menjadi mangsa amarahnya. Sepak terajangnya adalah makanan saya sepanjang kami berkahwin,” jelas Mala.
Imbasnya, sewaktu usia perkahwinan baru berusia tiga bulan, dia sudah merasai semua itu.
Dalam pada itu, hasil daripada perkahwinan, mereka berdua dikurniakan dengan dua cahaya mata.
Sepanjang lebih dua dekad perkahwinan, Mala sememangnya mempunyai hasrat untuk berpisah dengan suaminya.
Namun, memandangkan suaminya itu menjadi satu-satunya tempat untuk dia bergantung, hasrat Mala itu terpaksa dipendam.
Jika dia minta untuk berpisah, Mala tidak pasti sama ada dia mampu untuk membesarkan anak-anak bersendirian.
Sejujurnya disebabkan anak-anaklah yang membuatkan dirinya memilih untuk bertahan dengan perkahwinan itu meskipun penuh sengsara.
Kongsi Mala, biarpun setelah bergelar bapa, suaminya itu tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.
“Dia hanya bekerja sebagai pemandu lori dan pendapatannya tidaklah besar mana. Dalam masa yang sama, dia suka berjudi, kadangkala gaji yang diterimanya akan habis begitu sahaja.
“Bagi membolehkan menyara keluarga, saya berniaga nasi lemak setiap pagi dan apabila dia mengetahui bahawa saya ada pendapatan sendiri, dia mula melepaskan tanggungjawab dan jarang memberi duit belanja kepada saya,” jelas Mala.
Tambah Mala, bahkan ada ketika suaminya itu mengambil duit simpanannya tanpa pengetahuannya.
Apabila Mala bertanya, suaminya akan marah-marah dan berkelakuan kasar.
Cerita Mala lagi, sepanjang membesar anak-anaknya juga begitu takut kepada bapa mereka.
“Jika anak-anak saya melakukan sedikit kesalahan sahaja, mereka dihukum dengan teruk sekali.
“Ini membuatnya anak-anak saya membenci ayah mereka sendiri apabila besar,” terangnya.
Boleh dikatakan, sepanjang membesar, anak-anaknya langsung tidak merasai kasih sayang seorang bapa.
Tambah menyedihkan, setelah usia semakin bertambah, sikap suaminya itu langsung tidak berubah.
Mala bahkan mengetahui ketika suaminya memandu lori untuk menghantar barangan di luar kawasan, dia turut membawa wanita lain bersama sebagai peneman.
Namun, Mila tidak boleh untuk berkata apa-apa.
Jika dia mempersoalkannya pasti Mala akan menjadi mangsa untuk suaminya melepaskan geram. Anak-anaknya turut membenci dengan sikap bapa mereka yang curang dan tidak menghormati ibu mereka.
Segala perit yang dipendam oleh Mala sepanjang perkahwinannya itu hilang apabila dia mengambil keputusan nekad untuk berpisah dengan suaminya atas dorongan anak-anak setelah dewasa.
“Saya mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami saya adalah atas nasihat anak-anak saya sendiri.
“Anak sulung saya telah mempunyai kerja tetap yang menjamin masa depan dan dia yang meminta untuk saya berpisah dengan suami saya kerana dia tidak sanggup untuk melihat saya diperlakukan sedemikian rupa,” katanya.
Mala nekad dengan keputusan itu dan dia memohon fasakh untuk berpisah dengan suaminya.
Akhirnya, dia dan suaminya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di utara Semenanjung.
Kini, Mala bahagia dengan hidupnya dan dia mengikuti anaknya untuk tinggal di Lembah Klang.














