fbpx

EPMB labur RM100 juta bina kilang pembuatan kereta di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah (kanan, depan) pada majlis pecah tanah projek kilang EPMB di Melaka hari ini.

PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan langkah penerokaan dalam industri automotif dengan pembinaan kilang pembuatan kereta baharu di Melaka dengan nilai pelaburan lebih daripada RM100 juta. 

Langkah strategik ini adalah sebahagian daripada komitmen EPMB untuk mewujudkan hab pembuatan bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, sekali gus  memberikan sumbangan yang besar kepada peralihan global ke arah lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Razlan Mohamed berkata, pembangunan kilang baharu itu akan dilaksanakan dalam beberapa fasa di Taman Perindustrian HICOM Pegoh.

“Projek ini dijangka mewujudkan sekitar 1,000 peluang pekerjaan baharu di negeri Melaka sekali gus ia dapat mengukuhkan kepentingan negeri ini dalam industri EV serantau dan global.

“Setelah siap, fasa pertama kilang baharu ini akan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan sehingga 30,000 kenderaan setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka,  Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hari ini.

Selain itu, Ahmad Razlan menjelaskan, penubuhan fasiliti pembuatan EV adalah langkah penting untuk mewujudkan visi lengkap kami untuk membangunkan rangkaian 360 darjah bagi pasaran EV Malaysia. 

“Dengan kerjasama rakan bersama rakan strategik kami iaitu BAIC International Development Co Ltd. (BAIC), kami bersedia untuk membina kilang pembuatan EV dengan teknologi terkini di Melaka.

“Ini sebuah permulaan babak seterusnya dalam trajektori pertumbuhan kami. 

“Selain itu, kami dengan penuh semangat menantikan kerjasama dengan Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn. Bhd. (GWM Malaysia) pelanggan kami yang dihormati, dalam menyumbang untuk  meletakkan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk EV dan EEV di rantau ASEAN,” jelasnya.

Projek ini mengukuhkan perkongsian strategik EPMB dengan  sebuah syarikat dalam Senarai Fortune Global 500 dan peserta utama dalam industri automotif China. 

EPMB telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BAIC International pada bulan Ogos, menetapkan asas untuk pengeluaran tempatan bagi kenderaan utiliti sukan BJ40P dan X55II BAIC, kenderaan enjin pembakaran bahan api dalaman (ICE) pemanduan sebelah kanan (RHD), dan EV. 

EPMB menerima kelulusan untuk Lesen Pengilangan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia pada 11 Julai 2023 yang membenarkan operasi pembuatan dan pemasangan EEV, EV EV, dan kenderaan komersial elektrik. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI