fbpx

Aqil Naufal tak sabar turun padang, berlatih bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Aqil Naufal menunjukkan kaki palsu yang diterimanya ketika ditemui di Jerantut semalam.

JERANTUT – Semangat seorang pelajar tahun lima orang kelainan upaya (OKU) untuk cemerlang dalam sukan dan pendidikan semakin membara selepas dia menerima kaki palsu sumbangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kelmarin.

Muhammad Aqil Naufal Zaharin, 11, menjadi tumpuan selepas namanya disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan, kaki kiri kanak-kanak itu terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman ketika dia berusia tiga tahun.

Katanya, dia semakin bersemangat dan tidak sabar untuk turun ke padang dan berlatih bola sepak selain melakukan aktiviti kokurikulum bersama rakan di Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara 1 di sini.

“Ibu bawa saya ke Kuala Lumpur kelmarin (Selasa) untuk ambil kaki palsu selepas program di Kelantan.

“Ibu membantu saya memasang kaki palsu itu dan ia agak selesa walaupun pertama kali saya memakainya. Saya cuba sesuaikan untuk ke sekolah dan bermain dengan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di Felda Lepar Utara 4 dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Aqil Naufal memberitahu, dia menghargai pujian dan galakan orang ramai memintanya me­nguatkan semangat seperti yang diucapkan Perdana Menteri supaya dia berjaya dalam sukan dan pelajaran.

“Sejak kebelakangan ini cerita mengenai saya banyak disiarkan akhbar hingga saya dikenali dan didekati rakan OKU ketika program pencarian bakat pelapis sukan ‘amputee football’ di Kelantan tempoh hari.

“Mereka memberi galakan dan panduan supaya saya berjaya,” katanya.

Ujar Muhammad Aqil Naufal, dia dijaga ibunya, Noor Hafizah Mat Desa, 36, selain menum­pang kasih bapa saudara, Abdul Mutalib Mat Desa, 62, dan Saleha Daii selepas bapanya meninggal dunia tiga tahun lalu akibat sesak nafas.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata, anak saudaranya itu begitu teruja dan gembira mendapat kaki palsu dengan berlari dan melompat dalam rumah.

“Kita pun gembira dengan aksinya itu.

“Bagaimanapun, dia masih berhati-hati untuk menyesuaikan diri dengan kaki palsu itu. Kami terharu dengan bantuan kerajaan sekali gus memberikan keselesaan kepadanya selain membantunya berjaya menggapai cita-cita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI