fbpx

Penjawat awam tiada masalah arahan kawalan perbelanjaan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan yang dikeluarkan oleh kerajaan mengenai arahan kawalan perbelanjaan awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia bukanlah suatu perkara yang baharu memandangkan garis panduan mengenai perkara yang sama telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun lalu.

Ujarnya, garis panduan tersebut dengan jelas meminta semua kementerian dan jabatan kerajaan melaksanakan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

“Justeru itu arahan yang dikeluarkan hari ini hanyalah bersifat peringatan daripada semasa ke semasa agar ianya sentiasa dipatuhi dan dipraktis dengan baik oleh seluruh warga perkhidmatan awam.

“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, soal penjimatan dan pembaziran ini tidak seharusnya diberikan tumpuan kepada konteks yang besar sahaja sehingga meninggalkan hal-hal kecil yang menjadi rutin harian seperti penggunaan tenaga elektrik atau alatan pejabat.

“Cuepacs menyeru kepada semua warga perkhidmatan awam terutama ketua-ketua jabatan agar sentiasa mematuhi arahan kawalan perbelanjaan yang telah dikeluarkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, peringatan secara berkala melalui perhimpunan bulanan dapat membantu supaya ianya menjadi amalan biasa yang diamalkan oleh penjawat awam.

Ujarnya, Cuepacs melalui gabungan kesatuan sekerja akan sentiasa menyalurkan setiap aspirasi kerajaan termasuklah dalam isu penjimatan dana awam melalui aktiviti-aktiviti bersama penjawat awam yang dilaksanakan secara berkala.

Terdahulu, kerajaan mengeluarkan arahan baharu kawalan perbelanjaan awam oleh semua kementerian, jabatan dan agensinya, sebagai usaha penjimatan serta mengelakkan pembaziran sumber kewangan awam.

Arahan itu menggariskan antara langkah bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara optimum ialah penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar serta bengkel dihadkan bagi program benar-benar perlu saja, dan disaran diadakan di premis atau pusat/institusi latihan awam (ILA).

Perkara itu termaktub dalam surat pekeliling bertarikh semalam yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan diedarkan kepada Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed; serta Ketua Setiausaha kementerian-kementerian.

Menurut surat pekeliling itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyentuh aspek penjimatan dan mengelak pembaziran sumber kewangan awam ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI