fbpx

Dewan Rakyat: KPWKM tambah baik garis panduan tangani kes dera kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM) menggariskan beberapa penambahbaikan untuk dilaksanakan bagi menangani kes dera yang semakin meningkat ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, terdapat pelbagai faktor yang mendorong berlakunya penderaan iaitu penyalahgunaan dadah, pengaruh alkohol, masalah hubungan dalam keluarga, kesihatan mental atau emosi dan lain-lain lagi.

“Secara amnya kes penderaan kanak-kanak boleh terjadi ketika kanak-kanak di dalam jagaan ahli keluarga sendiri dan juga ketika berada dalam jagaan orang lain seperti pengasuh, sama ada di rumah, pusat jagaan mahupun taska.

“Sebagai langkah untuk mengurangkan risiko penderaan kanak-kanak di dalam jagaan orang lain terutamanya di taska, kementerian telah memperkemaskan pasukan penguatkuasaan dan di bawah inisiatif ini telah ditubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak,” katanya ketika di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy berkata, KPWKM akan menyusun semula penempatan pegawai di setiap daerah dengan menempatkan pegawai-pegawai yang akan memberi fokus untuk melaksanakan tugas pemantauan dan penguatkuasaan khususnya untuk pusat jagaan kanak-kanak dan taska.

“Ini yang akan dimulakan di 43 daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko dan kita akan melaksanakannya pada tahun ini juga.

“Kedua, memperketatkan garis panduan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di taska. Pengusaha perlu memastikan tiada titik buta dalam liputan CCTV kecuali tempat-tempat privasi seperti di bilik air dan persalinan pakaian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang meminta kementerian menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan kes dera yang semakin meningkat di Malaysia dan apakah bantuan yang akan diberi kepada kanak-kanak yang didera setelah ditemui.

Dalam pada itu, Nancy memaklumkan KPWKM juga akan memperketatkan proses saringan untuk pengambilan pengasuh di taska dan juga pusat jagaan.

“JKM akan berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneroka cadangan mewajibkan saringan tapisan keselamatan terhadap calon-calon yang ingin bekerja sebagai pengasuh.

“Selain itu, kita juga akan melihat calon pengasuh ini sama ada bersama-sama pengusaha taska untuk menjalani ujian psikometrik,” jelasnya.

Sementara itu katnya, usaha untuk mengurangkan risiko penderaan kanak-kanak ketika dalam jagaan keluarga memerlukan pendekatan yang berbeza.

“Ini kerana KPWKM dan JKM mempunyai kawalan langsung terhadap pusat jagaan dan taska melalui peruntukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan manakala penderaan dalam komuniti ataupun kelurga sendiri meliputi pelbagai faktor yang lebih luas melangkaui bidang kuasa kemampuan pihaknya semata-mata.

“Namun, antara usaha yang telah dirancang untuk dilaksanakan adalah program kesedaran hukuman ke atas pendera kanak-kanak, program memperkasa kanak-kanak dan juga memperkasakan komuniti dan seterusnya dalam hal ini pendekatan KPWKM melindungi dan membantu kanak-kanak mangsa penderaan adalah dengan mengutamakan pemeliharaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI