fbpx
Zambry ketika sesi kawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. FOTO JAPEN

KPT sasar kolej kediaman tampung 70 peratus pelajar menjelang 2035

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan kemudahan kolej kediaman di universiti awam (UA) dan politeknik mampu menampung sekurang-kurangnya 70 peratus kemasukan pelajar prasiswazah sepenuh masa menjelang tahun 2035.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sasaran itu digariskan menerusi Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dibangunkan pada November 2024 hasil libat urus bersama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia serta kepimpinan mahasiswa.

“Kerajaan komited menyediakan penginapan yang selesa, selamat dan kondusif kepada mahasiswa, khususnya golongan yang memerlukan.

“Lebih banyak kolej kediaman akan dibangunkan sebagai pelan jangka panjang KPT bagi meningkatkan keselesaan mahasiswa, terutama pelajar daripada kumpulan B40,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), Zambry berkata, KPT menerima peruntukan RM1.1 bilion sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan tahun pertama RMK13 bagi kerja penggantian, naik taraf serta pemulihan infrastruktur usang di IPTA.

Katanya, sebanyak RM225 juta lagi diperuntukkan khusus bagi membaik pulih asrama sedia ada.

Beliau berkata, sebanyak 36 projek kolej kediaman turut dilaksanakan menerusi kerjasama awam swasta (PPP), dengan 15 daripadanya siap dibina dan mampu menempatkan sehingga 45,000 pelajar.

“Dalam tempoh RMK13, kerajaan merancang membina lima kolej kediaman baharu di universiti awam melalui kaedah PPP yang dijangka dapat menampung kira-kira 21,000 pelajar,” katanya.

Mengulas isu pelajar yang terpaksa menyewa di luar kampus, Zambry berkata, KPT menetapkan keutamaan penempatan di kolej kediaman kepada pelajar daripada golongan B40, orang Asli, orang kurang upaya (OKU), asnaf serta mahasiswa yang aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Palapes dan Kesatria.

Tambah beliau, universiti turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penyediaan pengangkutan bagi membantu pelajar B40 dan M40 yang terpaksa menyewa di luar kampus bagi mengurangkan beban kos sara hidup.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN