fbpx

Bakat cilik: Artis cilik Malaysia ‘buruh paksa’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PEMBABITAN golongan kanak-kanak dalam bidang seni bukan lagi isu baharu.

Sejak dari zaman layar hitam putih lagi, beberapa nama kanak-kanak telah dikenali tidak kira sebagai penyanyi atau pelakon.

Nama-nama seperti Sweet Qismina, Puteri Balqis, Qistina Raisah, Alyssa Dezek, Fimie Don dan Fatin Afeefa antara contoh anak seni yang telah mencipta nama sejak zaman kanak-kanak dan kekal aktif sehingga hari ini.

Penyanyi terkenal, Shila Amzah juga tidak terkecuali tersenarai sebagai artis yang mengukir nama sejak kecil.

Namun baru-baru ini, pe­nyanyi dengan nama lengkap Nurshahila Amir Amzah itu me­nuai perhatian netizen berkaitan isu perbalahan dengan keluarga.

Bermula dengan isu ‘jual rumah’, satu persatu perkara terbongkar selepas suaminya, Ubai mendedahkan Shila ‘dikerah’ untuk bekerja sejak berusia 10 tahun.

Justeru, timbul persoalan sama ada wajar atau tidak bila mana anak seni daripada golo­ngan bawah umur ini, boleh dianggap sebagai ‘buruh paksa’ apabila mula bekerja untuk me­raih pendapatan walaupun masih berstatus kanak-kanak.

Menurut pengamal undang-undang, Dr. Muhammad Fathi Yusof, kalau ikutkan di Malaysia, terdapat undang-undang yang diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Dalam akta itu menyebut bahawa seseorang kanak-kanak di bawah umur itu tidak dibenarkan untuk bekerja atau istilahnya ‘child labour’.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian. Sebagai contoh kalau kanak-kanak itu terbabit dalam karier berbentuk hiburan, persembahan atau ke­senian. Namun, dengan kebenaran oleh keluarganya,” ujarnya.

Bagaimanapun Fathi berkata, secara peribadi dia tidak melihat pembabitan kanak-kanak bekerja pada usia muda sebagai suatu kesalahan, melainkan jika kanak-kanak itu secara terang-terangan telah dieksploitasi oleh ibu bapanya.

“Bila ada tanggapan ibu bapa mungkin mengambil kesempatan terhadap anak-anak, perkara itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai bentuk.

“Dengan bakat yang dimiliki seseorang kanak-kanak itu, ia boleh menjadi satu sumber kewangan bagi ibu bapa yang me­ngalami kesusahan.

“Selagi anak itu tidak me­ngalami bentuk penderaan fizikal dan mental, ia tidak menjadi kesalahan. Namun jika wujudnya penderaan, terdapat undang-undang yang boleh digunakan,” jelasnya.

Pelakon yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi pula berpendapat, tidak adil sebenarnya untuk melabel bakat-bakat cilik itu sebagai ‘buruh paksa’ walaupun hakikatnya mereka sudah bekerja pada usia terlalu muda.

“Buruh paksa bunyinya agak kasar. Kita boleh kata sebagai satu bentuk rezeki. Bakat me­reka secara tidak langsung boleh membantu keluarga.

“Dalam soal ini, bakat seni dilihat berbeza dengan pekerjaan yang lain. Kita tidak boleh melihat pembabitan mereka sebagai salah satu eksploitasi atau buruh paksa.

“Bagi saya, ini adalah satu bentuk rezeki dalam menghargai bakat seseorang kanak-kanak itu,” jelasnya.

Pada masa sama, Zed mengingatkan ibu bapa supaya tidak sesekali mengabaikan perkara yang lebih penting iaitu pelajaran mereka supaya tidak ketinggalan dan dilupakan.

“Jangan pula ‘dilenjan’ atau dikerah kanak-kanak itu untuk bekerja dari pagi sampai ke malam setiap hari. Itu memang tidak patut,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI