fbpx

Dua pegawai kanan Imigresen Johor dilepas, dibebaskan daripada tuduhan seludup migran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIS FADZILAH (tiga kanan) dan Norhayati (empat kanan) bersama barisan peguam mewakili mereka.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan dua pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor yang didakwa terlibat menyeludup migran, tiga tahun lalu.

Keputusan terhadap tertuduh, penolong pengarah, Noryati Abu Bakar, 53, dan pegawai kanan, Haris Fadzilah Abu Bakar, 51, dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat.

Noor Hayati dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

“Prosedur pengeluaran migran yang dibuat kedua-dua tertuduh adalah mengikut tatacara dibenarkan dalam prosedur Imigresen. Tiada bukti mengatakan kedua-dua mereka tahu migran terbabit telah masuk ke negara ini secara salah.

“Oleh demikian, saya berpuas hati bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh, sehubungan itu kedua-duanya dilepas dan dibebaskan tanpa perlu pembelaan dipanggil,” katanya dalam penghakimannya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama tiga yang lain didakwa bersama-sama menjalankan penyeludupan terhadap lapan migran di Lot 21, Jalan Feri, di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, pada kira-kira pukul 12 tengah hari, 15 Jun 2020.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai 21 saksi dipanggil pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2022.

Noryati diwakili peguam, Latheefa Koya dan Zaid Malek, manakala Haris Fadzilah pula diwakili Zamri Idrus; Muhammad Abd. Kadir; Md. Ridzuan Othman dan Khairulnadiah Hasni Yusoff.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary.

Sementara itu, mahkamah turut memaklumkan tiga tertuduh lain yang terlibat dalam kes berkenaan iaitu buruh binaan, M. Amir Nasir, ejen tiket feri, Tengku Jajang Sagita Tengku Redzuan dan pengawal keselamatan di Terminal Feri Pasir Gudang, Razali Mohamad telah dijatuhkan hukuman penjara antara dua hingga empat tahun selepas mereka mengaku bersalah, tahun lalu dan awal tahun ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI