fbpx

Ketentuan garis kemiskinan mengikut kadar kos sara hidup semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (lima dari kanan) selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kelantan di Taman Etnobotani Gua Musang, Gua Musang hari ini. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Garis kemiskinan bagi status golongan miskin tegar di negara ini ditentukan berdasarkan kepada kos sara hidup semasa yang sedang dihadapi rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup, masyarakat daif dan asnaf akan sentiasa wujud setiap tahun.

Menurutnya, sehubungan itu, semua pihak tidak perlu untuk mempolitikkan perkara tersebut kerana isu melibatkan kemiskinan berlaku di setiap negara.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu sentiasa istiqamah dalam menjayakan hasrat kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar.

“Seramai 130,000 ketua isi rumah (KIR) telah dikategorikan sebagai miskin tegar pada tahun ini, namun jumlahnya turun kepada 18,000 semasa pembentangan Belanjawan 2024,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kelantan di Taman Etnobotani Gua Musang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, semua pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan institusi Baitulmal diharap dapat membantu dalam menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurutnya, sasaran itu selari dengan hasrat yang telah digerakkan oleh kerajaan ketika ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam berkata, sebanyak RM500 juta disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI