fbpx

Sedekad kecemerlangan SSI catat pendidikan holistik, lahir individu berketerampilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar SSI bekerjasama menyiapkan tugasan berkaitan pameran 100 Heroes of Islam bagi menghasilkan projek yang berkualiti.

Trend ibu bapa moden dan juga ibu bapa yang begitu mementingkan bidang pendidikan anak-anak sejak tadika hingga ke peringkat remaja, sanggup berhabis ribuan ringgit setiap tahun untuk memastikan anak-anak mereka mendapat ilmu yang berkualiti.

Bukan sahaja daripada pencapaian akademik mereka mahu melihat anak-anak lengkap dengan pengajian agama serta pembangunan sahsiah diri, dalam usaha menjadikan kanak-kanak ini lebih matang ketika berdepan dengan pelbagai cabaran apatah lagi ledakan gajet, kepantasan ledakan teknologi maklumat tanpa sempadan.

Bersandarkan permintaan tersebut, banyak pilihan sekolah swasta dan sekolah antarabangsa menawarkan pelbagai program pembelajaran menarik selain menambah nilai kurikulum sedia ada bagi mencapai misi untuk melengkapkan pelajar memiliki pengetahuan seimbang dunia dan akhirat.

Salah sebuah sekolah yang memiliki ciri-ciri unik tersebut adalah Seven Skies International School (SSI) yang terletak di Denai Alam, Shah Alam menjadi pilihan ramai ibu bapa tempatan dan juga luar negara mendaftar anak-anak mereka di sana daripada peringkat sekolah rendah hingga sehingga berjaya meneruskan pengajian ke luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Tahir Usman berkata, ramai ibu bapa tertarik dengan reputasi cemerlang SSI dalam bidang akademik, pengajian Islam dan juga pembangunan sahsiah diri.

“Kami mewujudkan perkongsian harmoni yang mencorakkan masa depan ummah bersama ibu bapa, penjaga, guru dan juga murid. “Dalam meraikan kemajmukan dan memupuk kecemerlangan akademik, SSI bukan sahaja mengasih minda tetapi juga memperkayakan kerencaman budaya masyarakat kita,” katanya dalam satu temubual di SSI baru-baru ini.

Turut hadir Pengetua, Djohann Iskandar Kwan Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi SSI, Farah Omar.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang perkembangan SSI?
SSI: Ia adalah sebuah sekolah Islam antarabangsa yang mula beroperasi sejak tahun 2014 ha­nya dengan lapan pelajar dan kini bertambah kepada 400 orang, yang mana secara puratanya 60 peratus daripada mereka adalah pelajar tempatan dan bakinya pelajar luar negara.

Ibu bapa pelajar luar negara ini ada yang bekerja di Malaysia dan ada juga yang berada di luar negara tetapi ibu mereka tinggal di sini.

Kami bantu mereka untuk mendapatkan visa penja­gaan bagi membolehkan mereka tinggal di sini sementara anak-anak belajar di sekolah. Majoriti pelajar tinggal di sekitar Shah Alam, Kota Damansara dan juga dari Kuala Lumpur tetapi jumlahnya sedikit kerana faktor jarak jauh.

Apakah bentuk pembelajaran di SSI?
SSI menggunakan kerangka Early Years Foundation Stage (EFYS) United Kingdom untuk kanak-kanak tadika, UK National Syllabus untuk murid sekolah rendah dan IGCSE Cambridge untuk murid sekolah menengah peringkat O Level dengan berfokuskan kepada tiga teras iaitu pengajian Al Quran, Islam dan juga bahasa Arab.

IGCSE ditawarkan kepada murid sejak tahun 2017, kadar kelulusan peperiksaan tersebut adalah 100 peratus dengan purata 89.5 peratus murid telah memperoleh gred A dan B.

Terbaharu salah seorang murid sekolah ini telah dianuge­rahkan dengan pencapaian Top In Malaysia untuk sukatan pelajaran Cambridge IGCSE Islamiyat semasa Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge.

Bersempena sambutan u­lang tahun ke-10, apa program yang dianjurkan SSI?
Kami menganjurkan satu majlis sambutan di sekolah dengan mengadakan pameran 100 Heroes of Islam, kami juga mengadakan pelbagai jenis kempen untuk mempromosikan SSI dengan menawarkan kadar yuran yang menarik kepada ibu bapa yang mahu mendaftarkan anak-anak di sekolah ini, kami juga menyertai Private International School Fair yang akan berlangsung pada 11 Mei dan 12 Mei ini.

SSI bercadang untuk membuka cawangan lain dalam Malaysia?
Bersandarkan pada pengalaman dan pertanyaan daripada ibu bapa yang berkunjung ke pameran pendidikan sebelum ini, kami telah menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa yang tinggal di Kuala Lumpur termasuk Ampang dan Gombak yang berminat untuk menghantar anak mereka ke SSI.

Selepas 10 tahun, kami sedang mengkaji cadangan untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur. Tetapi ia masih terlalu awal untuk diumumkan sebab ia baru di peringkat kajian.

Program Pembinaan Sahsiah adalah satu faktor keunikan SSI, boleh jelaskan lebih lanjut?
Selain pendidikan akademik, kami juga menawarkan program pembinaan sahsiah yang begitu unik dan dijadikan inti pati utama sukatan pelajaran di sini.

Program ini memberi tumpuan terhadap usaha pembinaan kemahiran insaniah, memupuk jati diri, kemahiran kepimpinan dan kestabilan emosi murid.

SSI juga memiliki satu program berkaitan keusahawanan, adalah ia satu bidang yang menarik untuk pelajar?
Program Keusahawanan termasuk dalam aktiviti di bawah Program Pembinaan Sahsiah. Daripada gred 9, mereka akan melalui program keusahawanan dan mereka akan mengoperasikan satu bidang perniagaan yang mana mereka bukan sahaja belajar tentang teori tetapi me­laksanakan secara praktikal, ia boleh dilakukan secara berkumpulan atau berniaga seorang diri.

Pelajar akan membuat pembentangan tentang perniagaan masing-masing tentang modal, apa jenis perniagaan yang dilakukan serta untung rugi yang direkodkan.

Bagaimana tahap kesedaran masyarakat dan ibu bapa terhadap pembelajaran di sekolah swasta dan juga sekolah antarabangsa pada masa sekarang?

Alhamdulillah, ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah ini sangat berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian anak anak mereka sebabkan  program akademik dan juga kesahsian diri serta pelajaran Islamik.

Meskipun banyak sekolah islamik di luar sana, tetapi kami menjadi pilihan kerana pembangunan sahsiah diri dan juga kurikulum. Kami melihat banyak perubahan dalam kalangan pelajar. 

Apakah cabaran yang dihadapi oleh sekolah antarabangsa?

Kami berharap dapat sokongan daripada kerajaan dan bukan hanya tertumpu kepada sekolah kerajaan semata-mata, sebagai contoh perkembangan sekolah di Australia, kerajaan di negara tersebut turut memberi sokongan daripada aspek kewangan kepada sekolah swasta.

Kami berharap sekiranya dapat sokongan daripada aspek kewangan daripada kerajaan untuk sekolah swasta, selain mencari pelabur untuk melabur dalam projek pendidikan berpotensi ini.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI