fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Ini masanya UMNO, BN balas jasa DAP – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Darrah Hulu Selangor, hari ini. Foto oleh M.FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

HULU SELANGOR – Komitmen dan sokongan Barisan Nasional (BN) kepada calon Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu disifatkan sebagai membalas jasa DAP.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN menghormati formula untuk memberikan amanat kerusi (DUN Kuala Kubu Baharu) kepada PH.

“Beberapa PRK sebelum ini, kami turut didokong kepimpinan DAP, Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika di Tioman, Pelangai dan kemaman. Maka ini komitmen daripada UMNO dan BN.

“Saya juga tahu DAP adalah sebuah parti yang sangat komited dalam Kerajaan Perpaduan dan sudah tiba masanya (UMNO) membalas budi mereka (DAP),” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas mengiringi calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao yang mewakili DAP ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau yakin dengan keupayaan yang ditonjolkan Sock Tao mampu meraih kemenangan sekali gus mengekalkan kerusi tersebut dibawah Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau masih berharap agar MCA dapat membantu jentera Kerajaan Perpaduan untuk berkempen dalam PRK kali ini.

“Kita tidak menjangkakan bilakah waktu yang sesuai tapi saya fikir UMNO dan MCA telah bersahabat terlalu sejak tahun 1955 dalam BN. Saya fikir ia dapat disantuni dengan baik,” jelasnya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI