KETIKA berada di tingkatan satu, pemuda itu tertarik dengan satu aktiviti sukan yang dimainkan oleh beberapa pelajar senior di sekolah.
Dengan rasa ingin tahu, dia kemudian mencari maklumat akan sukan tersebut yang dikenali sebagai kabaddi dan kemudian cuba memainkannya bersama pelajar senior.
Menurut Kuberan Arasu, 17, sejak kali pertama bermain kabaddi, dia terus tertarik dan bermain secara serius dengan menyertai pasukan sekolah.
“Saya tidak pernah tahu wujudnya sukan kabaddi hinggalah masuk sekolah menengah dan melihat pelajar senior bermain semasa waktu kokurikulum.
“Saya tertarik dengan cara permainan sukan itu yang tidak memerlukan sebarang alatan sebaliknya hanya ketangkasan dan stamina,” katanya ketika ditemui K2 kala menjalani latihan kabaddi di gimnasium Majlis Sukan Wilayah Persekutuan di Putrajaya baru-baru ini.
Tambahnya yang kini sedang berlatih untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma), pada sekali pandang, sukan ini seolah bermain galah panjang, namun ia sebenarnya lebih kepada campuran sukan tempur dan strategi.
Ia juga mencabar mental dan fizikal kerana sukan tersebut memerlukan pemain untuk bertindak pantas dan bijak dalam berdepan pihak lawan.
Kabaddi merupakan permainan tradisional kaum India jenis sukan ‘team contact’ yang bermula di Tamil Nadu, India.
Permainan ini mirip dengan permainan galah panjang atau toi bagi masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia.
Dahulunya dikenali sebagai Sadukudu, permainan ini diperkenalkan sejak 4,000 tahun lalu sebagai aktiviti masa lapang askar-askar India bagi membantu mereka memperkembang skil mempertahankan diri.
Pada awalnya, kabaddi merupakan sukan permainan rakyat jelata yang dimainkan oleh penduduk di desa.
Menurut bahasa Hindi, perkataan kabaddi membawa maksud menahan nafas yang juga merupakan sebahagian daripada permainan tersebut.
Kabaddi didedahkan kepada dunia antarabangsa seawal tahun 1936 pada Sukan Olimpik Berlin sebagai sukan pameran.
Pada tahun 1938, kabaddi dipertandingkan pada Sukan Kebangsaan India atau dipanggil Sukan Olimpik India di Kolkata sebelum pertama kali dipertandingkan dalam Sukan Asia 1990 di Beijing, China.
Pada tahun 2010, kabaddi menjadi sukan demonstrasi pada Sukan Komanwel di New Delhi.
Kini, kabaddi menjadi antara sukan dipertandingkan dalam kejohanan antarabangsa seperti Sukan Asia dan Sukan Asia Tenggara (SEA), manakala di peringkat tempatan pula Sukma.
Berkongsi tentang cara bermain kabaddi, jurulatih pasukan kabaddi Angkatan Tentera Malaysia dan Putrajaya, Prabahkaran Mani, 31, memberitahu, ia biasanya melibatkan dua pasukan dengan tujuh pemain diturunkan ke gelanggang bagi setiap pasukan. Jumlah keseluruhan skuad setiap pasukan ialah 12 orang iaitu lima menjadi simpanan.
Kedua-dua pasukan bermain di gelanggang yang telah ditanda dalam ruang empat segi.
Menurutnya, permainan biasanya akan mengambil masa 20 minit untuk setiap pusingan perlawanan.

“Cara bermain permainan ini adalah dengan satu pasukan akan menghantar seorang penyerang untuk menyentuh ahli-ahli pasukan lawan (pertahanan).
“Jika disentuh, pemain itu akan kalah dan dikeluarkan dari gelanggang,” katanya.
Pemuda asal Sungai Petani Kedah itu menjelaskan, pemain penyerang boleh menyentuh pihak lawan dengan menggunakan tangan, kaki dan juga beberapa cara lain.
“Selepas menyentuh seberapa ramai pemain lawan, mereka akan berusaha berlari balik ke kawasan mereka sendiri.Pasukan lawan akan cuba menangkap penyerang atau memastikan pemain penyerang ini tidak dapat menyentuh garisan tengah,” katanya yang pernah mewakili negara dalam sukan kabaddi di peringkat Asia.
Kongsinya lagi, pemain penyerang dalam tempoh berada di kawasan lawan mesti terus melaungkan kabaddi, kabaddi, kabaddi dalam satu nafas antara 30 saat hingga 1 minit.
“Pasukan penyerang dan pertahanan akan bersilih ganti hingga 20 minit pertama tamat, diikuti rehat 5 minit dan 20 minit lagi untuk separuh masa kedua.
“Pada separuh masa kedua, dua pasukan terlibat akan bertukar kawasan. Pasukan mengumpul mata terbanyak (berdasarkan jumlah peserta yang berjaya disingkirkan) adalah pemenang,” ujarnya.
Berkongsi tentang perlembangan sukan kabaddi dalam negara, bekas atlet kebangsaan, Jegankumar Bataraman, 32, memberitahu, Malaysia sudah terlibat dengan sukan tersebut sejak tahun 2001.
Menurutnya, bermula sebagai satu pasukan kecil, terdiri daripada pemain berpengalaman dan baharu, Malaysia antara negara selain India di Asia yang terawal membentuk pasukan kabaddi.
“Sejak tahun 2001, kita sudah ada pasukan kabaddi kebangsaan yang sehingga kini sudah melahirkan ramai atlet berpengalaman dan pernah mendapat latihan di India.
“Pada peringkat awal, kita menunjukkan potensi positif dalam mengembangkan sukan ini hingga menjadi ikutan negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan yang turut menubuhkan pasukan mereka sendiri,” kata pemuda asal Port Dickson, Negeri Sembilan itu.
Pun begitu katanya, perkembangan sukan itu tidaklah pesat seperti sukan lain, malah ia tenggelam timbul sekadar memenuhi penyertaan pertandingan.
Ulasnya, hal ini jelas apabila bukan saja negara yang mengikuti Malaysia sudah jauh memintas kejayaan di peringkat antarabangsa tetapi juga nasib atlet tempatan umpama tiada tempat bergantung.
“Kita ada ramai pemain kabaddi yang berpengalaman, tetapi mereka terpaksa menolak untuk menyertai pasukan negara kerana tiada jaminan buat mereka terutama dari segi masa depan (karier) dan juga pendapatan.
“Tambahan pula, dari segi pembangunan sukan, kabaddi tidak mendapat perhatian sewajarnya meski kita sentiasa menghantar wakil ke peringkat antarabangsa,” luahnya.
Katanya lagi, biarpun di peringkat akar umbi ada usaha membangunkan sukan kabaddi, beberapa permasalahan di bahagian pengurusan pusat menjadi sebab prestasi sukan ini kian mundur.
Hal ini amat merugikan dari segi pembangunan sukan negara yang mana dengan kepakaran dan bakat tempatan yang ada, kabaddi mampu mengharumkan nama negara di peringkat dunia.














