fbpx

Jijoe tarik diri, Shah Firdaus tonjol diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azizulhasni meraih pingat emas manakala Shah Firdaus meraih pingat gangsa dalam acara berbasikal akhir (Lelaki) Elite Keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2023 di Velodrom Nasional, Nilai baru-baru ini.

KEPUTUSAN jaguh berbasikal trek negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang menarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou, China yang berakhir semalam, wajar dipuji kerana ia satu tindakan yang tidak mementingkan diri.

Azizulhasni, 35, atau lebih mesra disapa Jijoe boleh sahaja beraksi walaupun tidak pada kondisi terbaiknya tetapi memi­lih untuk menjalani pemulihan selepas terbabit kemalangan di Velodrom Nasional Nilai pada 15 September lalu.

Ia menyebabkan Olimpian dari Dungun, Terengganu itu mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian pinggul kiri.

Selain itu, Jijoe juga mengalami luka besar di siku, paha, kaki dan pergelangan kaki termasuk lebam-lebam di badan serta otot.

Ia berpunca apabila tayar basikalnya meletup menyebabkan Azizulhasni melambung sebelum terjatuh di selekoh pada kelajuan 95 kilometer sejam dan terseret sejauh 20 meter.

Bekas penghuni ranking pertama dunia acara keirin itu pada awalnya merasakan dia masih boleh bertanding memandangkan ini adalah penampilan ter­akhirnya di Sukan Asia.

Bagi Azizulhasni, dia ber­syukur tidak mengalami masalah serius kerana kemalangan berkelajuan tinggi seperti itu boleh menyebabkan kecederaan lebih tragis seperti lumpuh dialami pelumba wanita Jerman,

Kristina Vogel, gegaran otak atau sekurang-kurangnya patah tulang selangka.

Ketiadaannya seakan-akan memberi ‘nafas baharu’ kepada kem berbasikal negara yang kini telah menemui pengganti ­ter­­ba­iknya seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan beberapa pelumba berpotensi besar.

“Bagi saya Shah adalah pelumba elit yang berada pada tahap tertinggi. Dia mempunyai segala-galanya untuk berjaya dan hanya masa yang akan menentukan perkara itu.

“Dia perlu belajar dan ­mengadaptasikan diri dengan situasi bertekanan tinggi tanpa kehadiran saya kerana akhirnya saya akan bersara juga nanti selepas tamat (Sukan Olimpik) Paris 2024.

“Inilah peluang terbaik mereka terutamanya Shah untuk ­keluar daripada bayang-bayang saya. Bila lagi kalau bukan sekarang, jadi saya amat gembira dengan keputusan di sana,” kata Azizulhasni.

Shah Firdaus membuktikan kemampuannya apabila memenangi pingat gangsa pecut dan keirin Sukan Asia Hangzhou selepas mendakwa dia menjadi ‘mangsa’ permainan kotor tuan rumah yang menafikan ­peluangnya ke final dalam dua acara berkenaan.

Selain Shah Firdaus, dua lagi penggantinya iaitu adiknya, Muhammad Ridwan Sharom dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis turut menunjukkan potensi besar biarpun gagal menaiki podium tetapi berjaya melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir.

Azizulhasni yang juga bekas juara keirin dunia 2017 percaya ‘ada sinar di hujung terowong’ kerana pernah berdepan dugaan lebih berat tahun lalu apabila mengalami masalah jantung dipanggil anomalous aortic origin of right coronary artery.

Oleh yang demikian, Azizulhasni menyedari matlamat utamanya bukanlah Sukan Asia tetapi memenangi pingat emas sulung buat negara di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum bersara.

Ia sekali gus menjadi penamat terbaik kariernya selepas pernah memenangi pingat gangsa ­Olimpik Rio 2016 dan perak ­Olimpik Tokyo 2020.

Olahragawan Kebangsaan sebanyak lima kali pada 2009, 2010, 2017, 2019/2020 dan 2021 itu dijangka kembali menggegar trek velodrom dengan menyertai kejohanan antarabangsa seawal Disember depan.

Sebagai rekod, selain dua pi­ngat gangsa daripada Shah Firdaus, skuad berbasikal negara turut memenangi dua lagi gangsa melalui acara pecut berpasukan lelaki dan wanita di pentas Sukan Asia Hangzhou.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI