fbpx

Tiger Stripes wakil Malaysia ke Academy Awards

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Tiger Stripes melalui proses penilaian dan pematuhan kepada peraturan penyertaan ditetapkan penganjur acara tahunan berprestij yang disebut Oscars itu.

PETALING JAYA – Filem Tiger Stripes arahan Amanda Nell Eu dipilih secara rasmi mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Academy Awards Ke-96, Mac tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan filem itu dinilai dan diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang terdiri daripada penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional serta berpengalaman.

Katanya, filem terbitan Ghost Grrrl Pictures Sdn. Bhd. juga sudah melalui proses penilaian dan pematuhan kepada peraturan penyertaan ditetapkan penganjur acara tahunan berprestij yang disebut Oscars itu.

“Semoga perkembangan ini menjadi penyuntik semangat kepada semua penggiat filem untuk terus mendukung misi kerajaan dalam usaha memperkasakan industri perfileman negara di peringkat global.

“Pada masa yang sama, saya berharap usaha ini meningkatkan potensi penjenamaan dan pengantarabangsaan produk filem serta bakat kreatif negara yang berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiger Stripes yang juga arahan pertama Amanda membariskan Zafreen Zairizal, Piqa, Deena Ezral, Jun Lojong, Khairunazwan Rodzy, Fatimah Abu Bakar dan Shaheizy Sam.

Pada Mei lalu, Tiger Stripes mencipta sejarah sebagai filem Malaysia pertama memenangi hadiah utama Minggu Kritik Antarabangsa Cannes ke-62, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah €10,000 (RM49,400).

Karya garapan Nell Eu dipilih secara rasmi mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Academy Awards Ke-96, Mac tahun depan.

“Di peringkat antarabangsa, filem ini telah memenangi Anugerah Grand Prix di Semaine de la Critique ke-62 sempena Festival Filem Cannes ke-76 di Perancis.

“Selain itu, filem ini turut menerima Anugerah Khas Penghargaan Juri (Special Jury Mention) bagi kategori Filem Cereka Pertama di Fantasia International Film Festival ke-27 di Kanada, masing-masing pada bulan Mei dan Julai 2023,” katanya.

Pada masa sama, kredibiliti Tiger Stripes selaku naskhah bermutu tinggi juga dapat dilihat menerusi undangan ke Festival Filem Cannes.

Kali terakhir filem Malaysia diajukan undangan penganjur festival berkenaan adalah sekitar 13 tahun lalu menerusi The Tiger Factory sentuhan Woo Ming Jin.

Antara karya tempatan lain yang berpeluang ke Cannes adalah Kaki Bakar yang dihasilkan U-Wei Saari serta Karaoke (Chris Chong Chan Fui).

Tiger Stripes berkisar mengenai pengalaman kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang merasai perubahan pada tubuhnya ketika menuju alam kedewasaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI