fbpx

Sindiket seludup minyak Pak Dan ‘terciduk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta jenis Proton Iswara yang diubahsuai dengan tangki tambahan yang mampu mengisi kira-kira 600 liter bahan bakar bersubsidi.

PADANG BESAR – Polis berjaya melumpuhkan sindiket Pak Dan yang aktif menyeludup minyak petrol dan diesel bersubsidi susulan tertangkapnya dalang utama dalam satu serbuan di sini, semalam.

Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, serbuan dilakukan itu hasil maklumat awam dan risikan pasukan polis Padang Besar.

Katanya, pasukan task force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada mulanya mengekori sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna kelabu dari Padang Melangit ke Kampung Aman di Jalan Kaki Bukit sekitar pukul 9 pagi.

“Sebaik sahaja sampai di satu kawasan kebun getah, pemandu kereta menyedari dia diekori pihak polis lalu bertindak melarikan diri dan meninggalkan kenderaan dipandunya.

“Pada masa sama, pihak polis turut mendapat maklumat tambahan bahawa terdapat satu stor yang menjadi tempat pengumpulan bahan bakar bersubsidi diesel dan petrol,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya lagi, pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut mendapati terdapat sebuah rumah yang mempunyai bekalan elektrik dijadikan stor simpanan minyak dan di dalamnya terdapat seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.

Menurut Mohd. Shokri, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tersebut telah berkahwin serta mempunyai 18 rekod lampau berkait dadah yang juga dalang kepada sindiket penyeludupan minyak Pak Dan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini mempunyai ramai ‘runner’ yang bertugas membeli minyak bersubsidi dari stesen-stesen minyak sekitar negeri ini pada harga subsidi sebelum mengumpulnya di stor tersebut.

“‘Runner’ tersebut diberi upah sekitar RM0.30 seliter dan sindiket yang memulakan operasi pada awal September lalu berupaya mengangkut antara 600 hingga 1,000 liter bahan bakar bersubsidi dalam tempoh sehari,” jelasnya.

Difahamkan, dalang turut mempunyai hubungan dengan lelaki warga negara jiran yang mampu membeli sehingga 500 liter bahan bakar bersubsidi dari sindiket tersebut menggunakan trak pikap pada harga lebih rendah dari jualan di Thailand.

Dalam serbuan tersebut, polis menahan seorang suspek dipercayai dalang sindiket dan merampas sejumlah 980 liter petrol dan 1,870 diesel bersubsidi selain sebuah kereta dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM23,005.

Menurut Mohd. Shokri, kes itu adalah antara rampasan terbesar berkait kes penyelewengan bahan bakar bersubsidi di Padang Besar pada tahun ini dan polis masih mengesan saki-baki sindiket.

Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua rampasan serta tangkapan diserahkan kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI