fbpx

Johor fokus naik taraf pelancongan pada Belanjawan 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Kulai, hari ini.

KULAI – Kerajaan Negeri Johor akan memberi tumpuan kepada naik taraf kemudahan pelancongan dalam pembentangan Belanjawan Johor 2024.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perincian mengenai kerja naik taraf itu akan diumumkan pada pembentangan November depan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Iskandar Puteri.

Katanya, Johor mempunyai banyak produk yang boleh menarik pelancong seperti Taman Negara Tanjung Piai di Pontian.

“Tanjung Piai adalah titik paling penghujung selatan di daratan Asia, atau lebih tepat benua Eurasia. Kita juga ada enam Taman Negara.

“Banyak yang perlu kita buat untuk menaik taraf produk pelancongan di Johor. Saya hendak memberi jaminan kepada industri pelancongan, semua fasiliti akan dinaik taraf dalam masa dua tahun akan datang di bawah kerajaan negeri pimpinan saya.

“Dalam pembentangan belanjawan itu juga saya akan menyentuh untuk pengangkutan awam, Johor Bersih dan Johor Selamat,” katanya semasa berucap pada Majlis Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini hari ini.

Menurut Onn Hafiz, peningkatan kapasiti penumpang dari empat juta kepada lima juta penumpang setahun selepas pembesaran LTAS akan dicapai dalam masa yang singkat.

“Ia dapat dicapai dalam masa singkat kerana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Johor, khususnya di Iskandar Puteri akan ada Zon Kewangan Khas.

“Dalam masa sama kita ada Zon Ekonomi Khas dengan Singapura. Jadi dua perkara ini, saya yakin akan menjadi pemangkin untuk pembesaran ekonomi di Johor.

“Bila itu berlaku maka lebih ramai pelabur akan masuk ke negeri Johor melalui Tambak Johor, Laluan Kedua dan Sistem Rapid Transit (RTS) yang siap pada 2026, juga melalui LTAS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI