fbpx

Mahkamah: Muhyiddin mohon lepas tanpa bebas tiga lagi kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memfailkan permohonan supaya Mahkamah Sesyen di sini, melepas tanpa membebaskannya daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Muhyiddin, 76, selaku pemohon yang memfailkan notis permohonan itu pada Isnin lalu menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Berdasarkan permohonan antara alasan Ahli Parlimen Pagoh itu ialah pada 15 Ogos lalu Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskannya daripada kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) kerana ia tidak berasas berikutan tidak mendedahkan suatu kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Memandangkan pertuduhan-pertuduhan di bawah seksyen itu termasuk pertuduhan pertama adalah tidak diperuntukkan oleh undang-undang dan tidak berasas, maka saya sesungguhnya percaya bahawa pertuduhan-pertuduhan pengubahan wang haram yang berpaksikan kesalahan prediket juga adalah tidak berasas,” katanya dalam permohonan itu.

Muhyiddin mendakwa tidak wajar dan tidak adil untuk beliau terus menghadapi pendakwaan serta perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang haram kerana proses perbicaraan yang panjang akan menjejaskan kualiti kehidupannya.

“Reputasi saya akan terjejas, memerlukan saya meluangkan masa di mahkamah, mengalami tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan saya, terpaksa menanggung kos untuk pembiayaan peguam dan sebagainya.

“Oleh itu, saya percaya bahawa hak saya di bawah Fasa 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan akan terjejas sekiranya permohonan ini tidak dibenarkan dan saya dipaksa untuk menghadapi perbicaraan bagi pertuduhan-pertuduhan yang tidak berasas. Saya juga percaya bahawa pihak responden (pendakwa raya) tidak akan diprejudiskan sekiranya permohonan ini dibenarkan,” katanya.

Presiden Bersatu itu berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada sebuah yayasan yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari sama (15 Ogos) terhadap keputusan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI