fbpx

Latihan atlet ke luar negara beri pulangan berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Latihan intensif tiga bulan di Aarhus, Denmark membantu Qabil Ambak memenangi pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou di China.

USAHA dan latihan tidak dinafikan penting untuk setiap atlet bagi mengejar cita-cita mereka mendakap pingat serta kejayaan dalam mana-mana kejohanan, tidak kira sama ada kejohanan tempatan mahupun dunia.

Setiap penat lelah mereka menjalani latihan, nyata memberikan kepuasan maksimum apabila berjaya menjejakkan kaki di atas podium bagi menerima kalungan pingat sebagai tanda kejayaan. Selain corak latihan, venue setiap atlet menjalani latihan turut dilihat sebagai salah satu faktor yang mampu menjadi penyumbang utama kepada mana-mana atlet bagi mendapatkan hasil dimahukan.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan latihan di luar negara yang memiliki fasiliti lengkap mampu menghasilkan keputusan memberangsangkan walaupun kita mungkin perlu menge­luarkan belanja lebih besar.

Pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China ketika ini, kita dapat melihat hasil latihan di luar negara membuahkan hasil apabila atlet-atlet Malaysia berjaya menyumbang pingat.

Setiap atlet negara yang menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia di Sukan Asia menjalani latihan di luar negara sebelum berangkat menyertai temasya sukan empat tahun sekali itu.

Sebagai contoh, dua pemenang pingat emas, iaitu jaguh ekuestrian negara, Muhammad Qabil Ambak Mahamad Fathil serta atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif ‘berguru’ di luar negara sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia.

Qabil berkata, dia melakukan persiapan intensif selama tiga bulan di Aarhus, Denmark sejak Julai lalu sebelum ‘terbang’ ke Hangzhou bagi menggalas cabaran melalui acara dressage.

“Merangkul pingat adalah sasaran saya (di Hangzhou) tidak kira apa warna. Saya buat persiapan menjalani latihan intensif selama tiga bulan di Aarhus, jadi memang terus datang ke sini dari Denmark,” katanya.

Begitu juga dengan Shazrin yang menjadi atlet pertama negara menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia apabila dia turut menjalani latihan di luar negara dengan ‘bertapa’ di Jepun dan Portugal selama dua minggu.

Ramai tahu bahawa kos berlatih di luar negara lebih tinggi, namun penulis menganggap ia berbaloi apabila atlet-atlet berjaya menghadiahkan pingat, terutamanya pada temasya-temasya besar seperti Sukan Asia.

Dalam pada itu, kejayaan ja­guh wusyu negara, Tan Cheong Min meraih pingat perak dalam acara gabungan Nanquan dan Nandao wanita selepas berguru di Beijing selama sebulan sebelum Sukan Asia berlangsung.

Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt menyatakan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang meluluskan permohonan mereka untuk menghantar Cheong Min berlatih di China.

“Perkara penting ingin saya cakap adalah terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara) kerana luluskan permohonan WFM untuk menghantar tujuh atlet Sukan Asia menjalani latihan di Beijing selama sebulan lebih.

“Ini adalah satu strategi serta latihan yang sangat berfungsi dan berkesan untuk atlet kita. Mereka ada suasana dan tempat latihan lebih bagus selain dapat berlatih dengan atlet-atlet China,” ujar beliau.

Sebagai kesimpulan, badan induk sukan negara perlu ber­belanja besar bagi menghantar atlet-atlet berpotensi menjalani latihan di luar negara dalam usaha membantu mereka mencipta kejayaan di pentas tertinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI