KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita Negeri Sembilan melengkapkan musim sempurna apabila menjuarai Piala Vivian May Soars 2026 selepas menewaskan Territory Stingers 5-2 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan berjaya melengkapkan kejuaraan treble musim ini selepas sebelum itu turut menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2026.
Negeri Sembilan jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi permainan sejak wisel dibunyikan dengan mendahului 3-0 pada separuh masa pertama sekali gus meletakkan Territory Stingers dalam tekanan.
Nur Afiqah Syahzani membuka tirai jaringan Negeri Sembilan menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ke-15 sebelum Raja Norsharina Raja Shabuddin menggandakan kedudukan pada minit ke-27.
Tidak cukup dengan itu, Nur Amirah Shakirah terus melebarkan jurang buat Negeri Sembilan hasil jaringan padang pada minit ke-30 untuk memastikan pasukan itu selesa mendahului 3-0 menuju waktu rehat.
Momentum cemerlang Negeri Sembilan bersambung pada suku masa ketiga apabila Vandana Katariya meledak gol menerusi jaringan padang pada minit ke-33 sebelum Fatin Shafika mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-35.
Kedudukan 5-0 itu seakan-akan mengesahkan trofi menjadi milik Negeri Sembilan lebih awal meskipun Territory Stingers cuba bangkit memberikan tekanan pada suku masa terakhir.
Pasukan dari Australia itu akhirnya berjaya merobek gawang Negeri Sembilan menerusi jaringan penalti sudut Penny Squibb pada minit ke-51 sebelum Samantha Pangquee menambah gol kedua empat minit kemudian.
Bagaimanapun, benteng Negeri Sembilan kekal tenang menyerap asakan lawan untuk mempertahankan kelebihan sehingga tamat permainan sekali gus mengesahkan mereka sebagai pasukan paling dominan dalam saingan hoki wanita tempatan musim ini.
Sebagai rekod, Territory Stingers menamatkan saingan Liga Hoki Malaysia di tempat ketiga, manakala Malaysian University-UNITEN (MU) melengkapkan podium di tempat kedua. KOSMO! ONLINE














