fbpx

Padah menyamar polis, peras ugut warga asing, tiga lelaki ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

AMPANG – Tiga lelaki tempatan yang menyamar sebagai anggota polis untuk memeras ugut seorang warga asing membawa padah apabila ditahan di lokasi berasingan sekitar daerah ini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 21 mendakwa bapanya diugut tiga lelaki yang tidak dikenali, Rabu lalu.

Katanya, suspek telah mengenalkan diri sebagai anggota polis dari Shah Alam sebelum menggeledah kawasan rumah mangsa di Taman Permai Jaya, di sini.

“Susulan penggeledahan dibuat, suspek menuduh bapa pengadu yang berusia 50 tahun membuat kesalahan tiada lesen menjual besi buruk dan meminta sejumlah wang.

“Disebabkan takut, bapa pengadu telah menyerahkan sekitar RM500 lalu suspek terus beredar dari kediaman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan dibuat, Mohd Azam berkata, sepasukan anggota polis membuat beberapa siri tangkapan di Tasek Permai, Taman Sri Intan Lembah Jaya Selatan dan Ampang Campuran, di sini, Rabu lalu.

“Tangkapan yang bermula pukul 10.45 pagi itu membabitkan tiga suspek merupakan lelaki tempatan berusia 42, 34 dan 35 tahun.

“Salah seorang suspek kerja pendawaian manakala dua lagi suspek menganggur. Turut dirampas tiga telefon bimbit suspek bagi tujuan siasatan.

“Kesemua suspek mempunyai dua hingga empat rekod kesalahan lampau berkait kes dadah dan jenayah,” katanya.

Jelas beliau, reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari sehingga esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar penjawat awam.

“Sehubungan kes ini, polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan membuat laporan polis palsu,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI