fbpx
Keratan laporan akhbar mengenai seorang lelaki yang dikesan polis berhubung kes pukul isterinya sehingga keguguran di Ambangan Heights, Khamis lalu dan berjaya ditahan di Alor Setar, hari ini.

Lelaki pukul isteri hingga gugur diberkas di Alor Setar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 43 tahun yang dikehendaki berhubung kes memukul isterinya sehingga keguguran di Ambangan Heights, di sini Khamis lalu akhirnya diberkas di Alor Setar, dekat sini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berjaya ditahan pada petang ini.

“Suspek baru sahaja ditahan dan proses permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Sungai Petani esok,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan ke atas lelaki tersebut akan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.

Adzli bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu dan memberitahu, satu sidang akhbar berhubung perkembangan kes tersebut akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar esok.

Kosmo! semalam melaporkan, polis mengesan seorang lelaki yang didakwa memukul isterinya yang hamil 12 minggu sehingga keguguran dalam kejadian di rumah pasangan itu di Ambangan Heights Khamis lalu.

Terdahulu, keluarga mangsa menyifatkan lelaki tersebut sebagai suami yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Mereka turut berharap suspek segera ditangkap dan diadili mengikut proses undang-undang.

Selain mangsa penjawat awam berusia 39 tahun dicederakan, lelaki itu dipercayai sedang berdepan proses mahkamah berhubung kes mencederakan bekas isterinya di Johor beberapa tahun lalu.

Dalam kejadian terbaharu, mangsa dipercayai dipukul dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu hingga patah. Selain itu suspek turut melarikan barang kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000.

Pasangan tersebut dikatakan berkahwin di Thailand pada Disember lalu, namun belum mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN