fbpx
ALIF HAIKAL (kanan) dan Nursyamimi berbangga apabila dapat membantu keluarga mencari duit sendiri bagi menyambung pengajian ke universiti.

‘Kami kerja kedai makan, jual durian demi tuntut ilmu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Belajar sehingga ke menara gading dan menggenggam segulung ijazah menjadi impian setiap pelajar, namun tidak semuanya bernasib dari segi kewangan bagi menyediakan per­belanjaan yang diperlukan.

Buktinya apabila ada antara pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang terpaksa bekerja bagi mengumpul wang bagi melanjutkan pelajaran termasuk membayar yuran.

Di Alor Setar, Alif Haikal Ayob, 19, seorang anak yatim yang juga bekas pesakit kanser kelenjar tahap tiga mengambil inisiatif bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan dengan upah RM35 sehari.

Dia yang tinggal di Kampung Berjaya di sini ditawarkan program pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan dijadual mendaftar pada 8 Oktober ini.

Menurut Alif, ibunya hanya suri rumah dan mereka bergantung kepada pendapatan bapa tirinya yang bekerja sebagai tukang cuci.

“Alhamdullilah, saya dapat bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM35 sehari dan saya sempat bekerja selama tiga bulan sebelum mendapat surat tawaran ke USM.

“Hasil pendapatan itu, saya dapat mengumpul wang sebanyak RM2,100 dan jumlah tersebut cukup untuk membayar yuran pengajian sebanyak RM2,052.50,” ujarnya.

DI universiti inilah Alif Haikal bakal menyambung pengajian selepas tamat STPM

Sementara itu, di George Town, pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Nursyamimi Zainuddin, 20, berkata, dia mengambil keputusan untuk bekerja sambilan di sebuah syarikat francais makanan segera dan kedai alat tulis sebaik tamat persekolahan April lalu.

“Saya belajar mencari sumber pendapatan sendiri sejak April lalu bagi tujuan menampung kos perbelanjaan serta wang pendaftaran masuk ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Ibu dan bapa masih menampung adik yang bersekolah dan bagi saya, selagi ada kudrat kita tidak mempunyai alasan untuk tidak mampu melakukan apa-apa kerja bagi meringankan beban keluarga.

“Memang teruja untuk me­nyambung pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (hospitaliti) di UMK apatah lagi menggunakan hasil duit titik peluh yang disimpan sebanyak RM1,500, selama tiga bulan bekerja,” katanya.

Jelas anak guru sekolah memandu dan pembantu kantin sekolah itu, dia perlu menyediakan kira-kira RM2,000 untuk kos perjalanan, perbelanjaan dan pendaftaran kemasukan ke UMK.

Muhamad Azam ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut, Terengganu.

Di Pasir Mas, Muhamad Azam Aminahar, 20, yang merupakan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memerlukan RM2,180 bagi membayar yuran pengajiannya.

Muhamad Azam ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut, Terengganu.

“Saya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM1,000 sebulan sejak selesai menduduki peperiksaan STPM,” ujarnya.

Sementara itu, di Jerantut, Noor Haffiz Izzaidy Zulkifly, 19, berkata, kehadiran musim durian memberikan kelegaan kepada­nya apabila dia dapat membantu ­bapanya yang bekerja sendiri menjual durian untuk menyediakan perbelanjaan semasa pendaftaran ke universiti.

Noor Haffiz Izzaidy berkata, nasibnya agak berbeza dengan rakan di Pahang yang menerima geran bantuan awal Yayasan Pahang tahun ini yang mula mendaftarkan diri kemasukan semester pertama pada 23 September ini.

“Bagaimanapun saya tidak memperoleh bantuan Yayasan Pahang kerana dilahirkan di Terengganu berikutan bapa ber­asal dari Kelantan, manakala ibu orang Terengganu.

“Untuk pendaftaran semester pertama ini saya perlu menyediakan RM700 dan mujur bapa saya dapat menyediakan wang tersebut daripada wang hasil jualan durian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN