fbpx

40 peratus pesakit tidak sedar hidap diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 15 Disember 2021 menunjukkan ujian darah untuk hipertensi, kolesterol dan diabetes dilakukan di Banda Aceh, Indonesia . - AFP

LONDON – Satu kajian baharu mendedahkan trend global membimbangkan di mana kira-kira 40 peratus pesakit tidak sedar mereka menghidap diabetes kerana tidak pernah didiagnosis, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Pendedahan tersebut terkan­dung dalam laporan Diabetes Global Industry Overview dan merupakan kaji selidik paling meluas seumpamanya setakat ini.

Pasukan penyelidik mendapati majoriti kes diabetes yang tidak didiagnosis tertumpu di rantau tertentu, dengan Afrika mendahului senarai pada 60 peratus diikuti Asia Tenggara (57 peratus) dan Pasifik Barat (56 peratus).

Data itu memberikan gambaran jelas tentang kesedaran dan saringan diabetes di seluruh dunia. Separuh daripada pesakit yang disahkan menghidap diabetes juga didapati tidak menerima rawatan.

Kira-kira tiga daripada empat pesakit diabetes pula tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana di mana akses penjagaan kesihatan terhad.

Ketua penyelidik kajian tersebut, Sasha Korogodski berkata, walaupun lebih 530 syarikat di seluruh dunia menawarkan per­khidmatan diagnosis diabetes, hanya 33 daripadanya terletak di tiga kawasan paling terjejas.

“Infras­truktur penjagaan kesihatan terhad serta kekurangan pakar kesihatan dan peralatan diagnostik menghalang saringan awal diabetes,” kata Korogodski.

Kajian itu meninjau lebih 2,800 syarikat, 1,500 pelabur serta 80 hab penyelidikan dan pembangunan yang dikhaskan untuk penyakit diabetes bagi menilai kesannya di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Amref Health Innovations, Caroline Mbindyo berkata, separuh daripada penduduk Benua Afrika kurang akses kepada penjagaan kesihatan yang penting.

Bagi penduduk di kawasan terpencil, usaha mendapatkan rawatan di kemudahan penja­gaan kesihatan mengambil masa berjam-jam, bahkan selama beberapa hari, katanya.

Walaupun terdapat pelaburan besar, diabetes kekal penyumbang utama kematian global. Pada 2021, hampir tujuh juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan diabetes dan lebih AS$970 bilion (RM4.5 trilion) di­belanjakan untuk rawatan.

Dianggarkan lebih 527 orang di seluruh dunia menghidap diabetes pada masa ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI