fbpx

Bekas CEO didakwa guna kuasa beri anak jawatan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi pegawai SPRM ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat kerajaan negeri Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa dengan melantik anak perempuannya bekerja di agensi berkenaan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Amir Ali, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elasabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Halal Hub telah menggunakan jawatan melantik anak perempuannya sebagai Pegawai Kewangan W41 di syarikat berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Syarikat Melaka Halal Hub Sdn. Bhd., Bangunan Anchor Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam, Jasin pada 1 April 2021 lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh yang kini bertugas sebagai pegawai kebudayaan di sebuah universiti tempatan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan antara RM7,000 hingga RM15,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan dia menanggung sembilan orang anak dan seorang isteri yang menghidap penyakit kencing manis.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jaminan RM7,000 dan bersetuju sengan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Beliau turut menetapkan tarikh 2 November ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI