fbpx

PDRM kesan, selamatkan mangsa dipaksa jadi ‘scammer’ di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azman (dua kiri) pada sidang media di IPK Sarawak di Kuching hari ini.

KUCHING – Kes melibatkan rakyat Sarawak menjadi mangsa tawaran kerja di luar negara sebagai ‘scammer’ di Myanmar dirujuk kepada Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, maklumat berhubung kes itu turut disalurkan kepada polis antarabangsa (Interpol), Aseanapol bagi membantu mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat.

“Pihak PDRM turut membuat pemakluman kepada konsulat dan Kementerian Luar Negeri bagi membantu mempercepatkan proses menyelamat dan membawa pulang kesemua mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Terdahulu, Mohd. Azman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak menerima tiga laporan berhubung kes mangsa berusia 25 hingga 35 tahun dipaksa menjadi ‘scammer’ di Myanmar.

Laporan pertama dibuat pada 21 September lalu yang melibatkan dua lelaki di Tanjung Manis, manakala laporan kedua pada 22 September di Julau. Laporan ketiga dibuat di Sibu melibatkan lima lelaki.

Kesemua mangsa menerima tawaran melalui Facebook untuk bekerja di Thailand. Mereka ditawarkan gaji antara RM3,000 sehingga RM6,000 seorang.

“Maklumat yang diterima mengatakan setibanya di Thailand, kesemua mangsa dibawa ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai scammer. Jika gagal capai sasaran yang ditetapkan, mereka akan didenda dan didera selain diugut akan dijual kepada ejen lain,” ujarnya.

Tambah Mohd. Azman, kesemua mangsa juga tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana ahli keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI