fbpx

Op Bersepadu: 568 notis saman dikeluarkan, 17 kenderaan disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Individu ditahan selepas dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 568 notis saman telah dikeluarkan manakala 17 kenderaan disita dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan bermula pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam berdekatan Stesen LRT Bangsar, di sini hari ini.

Dalam operasi berkenaan, seramai 100 anggota terlibat termasuk 66 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) (8) , Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) (13).

Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, sebanyak 1,000 kenderaan diperiksa manakala 318 kenderaan membabitkan 161 motosikal, kereta (126), perkhidmatan awam (16) dan barangan (15) dikenakan tindakan.

Katanya, kesalahan paling tinggi dikesan adalah melibatkan tiada lesen memandu (214), lesen kenderaan motor dan perlindungan insurans tamat tempoh (100), diikuti insurans perlindungan tamat tempoh (96) saman direkodkan.

Seterusnya, sebanyak 60 notis saman cermin gelap, nombor pendaftaran kenderaan fancy (38), kesalahan teknikal (37) dan ekzos bising (23),

“Kita jalankan operasi hari ini adalah semata-mata untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bukanlah untuk mencari kesalahan. Tetapi, apa yang kita dapati ada pemandu yang melarikan diri daripada sekatan dan kita berharap mereka yang mengelak ini dapat memenuhi peraturan jalan raya.

“Selain itu, kita mengesan seorang individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan telah diambil tindakan sewajarnya oleh pihak bertugas,” ujarnya ketika sidang akhbar di LRT Bangsar, di sini hari ini.

Sehubungan itu, JIM juga menahan 11 warga asing iaitu 4 individu warga Indonesia, India (3), Bangladesh (1), Afghanistan (1), Filipina (1) dan Pakistan (1) sementara tangkapan dibuat terhadap enam individu termasuk dua wanita.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kenderaan perdagangan wajib mematuhi laluan masa terhad yang telah ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan larangan tersebut.

“Larangan waktu terhad yang telah ditetapkan itu telah dikuatkuasakan bagi mengelakkan kesesakan trafik pada waktu puncak seterusnya kepentingan faktor keselamatan pengguna jalan raya terutamanya pengguna kenderaan kecil yang melalui laluan berkenaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI