fbpx

Kongsi ilmu elak jadi mangsa sindiket scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

HAMPIR setiap hari, masyarakat dihidangkan dengan kisah-kisah mangsa mengalami kerugian akibat ditipu scammer yang dilaporkan di media massa sehingga kerugian jutaan ringgit.

Mangsa pula tidak mengira latar belakang dan usia, malah ada yang berpendidikan tinggi serta berkerjaya profesional.

Berdasarkan laporan media, terdapat mangsa ditipu kononnya terlibat kes jenayah, mempunyai cukai tertunggak, tawaran kerja dan sebagainya. Banyak lagi taktik yang digunakan sindiket ini.

Penulis sendiri hampir ditipu scammer selepas menerima panggilan individu mendakwa kakitangan sebuah syarikat telco beberapa minggu lalu.

Lebih meyakinkan, individu itu menggunakan gambar bangunan syarikat tersebut pada profilnya serta menghubungi penulis menggunakan aplikasi WhatsApp. Lelaki itu mendakwa, syarikat menawarkan bil percuma selama tiga bulan atas dasar kesetiaan.

Penulis diminta memberitahu nombor OTP (One Time Pin) dihantar pada telefon bimbit, ko­nonnya untuk memudahkan urusan. Memang sangat meyakinkan apabila ia dihantar pada sistem pesanan ringkas (SMS) rasmi syarikat telco tersebut.

Hampir sahaja memberikan­nya, namun penulis kembali waras dan was-was dengan identiti pemanggil.

Lagipun, mana mungkin syarikat telco ‘baik hati’ menawarkan bil percuma kepada pelanggan.

Biarpun selama ini telah berhati-hati serta sentiasa berwaspada, penulis hampir-hampir menjadi mangsa penipuan atas faktor yang sangat meyakinkan ketika itu.

Keadaan ini mungkin dilalui oleh orang lain dan ketika itu, mangsa mungkin dalam keadaan terdesak dan ketika dihubungi scammer, ia seolah-olah memberikan jalan penyelesaian.

Sebenarnya setiap individu perlu memainkan peranan memberi kesedaran berhubung penipuan scammer terutama kepada keluarga dan rakan-rakan.

Banyak tips serta panduan boleh diperoleh di media sosial. Antara individu yang aktif memberikan kesedaran ialah Duta Anti Scam, Asisten Superintendan (ASP) Rahmat Fitri yang berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Melalui perkongsian video, Rahmat turut menggalakkan orang awam untuk berkongsi ilmu berhubung tips, panduan serta kaedah dikongsikan beliau berhubung penipuan scammer supaya tidak ada yang menjadi mangsa.

“Paling penting membanteras scam ialah melalui pencegahan, kesedaran serta perkongsian yang bagus. Dapatkan tips daripada pihak polis (misalnya) untuk mengelakkan terkena scam, tapi simpan seorang diri.

“Kongsikan ilmu itu kepada semua orang iaitu bermula dengan kawan, keluarga atau saudara-mara supaya orang di sekeliling dalam keadaan selamat, tidak pernah kena scam.

“Kenapa masyarakat susah sangat terima ilmu tentang ke­sedaran elak scam? Kenapa tak mahu kongsikan tips scam? Kenapa tak jadikan perkongsian yang bagus sebagai satu norma kehidupan sekarang?,” katanya

Rahmat berkata, era tekno­logi tanpa sempadan yang mana maklumat boleh diperoleh di hujung jari seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Sejauh mana anda tahu etika menggunakan telefon atau media sosial dengan bijak. Tak ada, anda cuma beli serta tidak belajar dan ambil tahu (tetapan tertentu). Pandangan saya ilmu itu penting.

“Semua negara ada scammer dan negara maju juga berhadapan masalah yang mana scammer ada di negara mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI