fbpx

[VIDEO] Ibu tidak sedar anak 2 tahun turun kereta lintas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar seorang budak dua tahun tiba-tiba melintas jalan dan nyaris dirempuh.

ALOR GAJAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun nyaris dirempuh kereta selepas keluar daripada kenderaan dipandu ibunya dan meluru melintas jalan raya di Jalan Melaka Pindah, Alor Gajah, pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.51 pagi itu, suasana panik itu turut menyebabkan beberapa kenderaan lain yang cuba mengelak kanak-kanak tersebut mengalami kemalangan kecil.

Satu klip video rakaman papan pemuka (dashcam) daripada kereta terlibat juga tular di laman sosial sejak pagi tadi dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen mengenai keselamatan kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, laporan kemalangan telah dibuat oleh seorang guru dan operator kilang yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Guru terbabit yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan ke Lendu dan setibanya di Jalan Melaka Pindah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah dia melihat seorang kanak-kanak meluru melintas jalan raya.

“Dia kemudian telah memberhentikan kenderaan secara mengejut menyebabkan sebuah motosikal Honda CBR 250 yang datang dari arah belakang melanggar keretanya,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit yang berusia 28 tahun turut mengalami luka-luka kecil.

Ujarnya, setakat ini pihak polis belum mengenakan tindakan terhadap ibu kanak-kanak terlibat, namun wanita terbabit telah dipanggil dan diberikan peringatan tentang aspek keselamatan kanak-kanak.

“Hasil maklumat diperolehi, ibu kanak-kanak tersebut telah memberhentikan seketika kenderaan di bahu jalan di seberang jalan bagi menghantar anaknya yang bersekolah di SK Melaka Pindah.

“Tanpa disedari anaknya berusia dua tahun yang dibawa bersama di dalam kereta telah keluar dari kenderaan dan melintas jalan. Di dalam kereta itu juga ada seorang lagi anaknya berusia lima tahun,” ujarnya.

Arshad berkata, setakat ini kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI