fbpx

Penagih dadah naik 27 peratus, belia tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sutekno (tengah) bersama pegawai AADK dan media pada program Retreat Bersama Klien dan Malam Apresiasi Media, malam tadi. Foto AFIQ RAZALI

KUALA SELANGOR – Jumlah penagih dadah meningkat sebanyak 27 peratus iaitu 118,820 orang dengan golongan belia paling tertinggi direkodkan sepanjang tempoh enam bulan pertama, tahun ini.

Berdasarkan pengesanan aktif Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), angka itu bertambah berbanding 93,354 orang dalam tempoh sama, tahun lalu.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, hasil pemerhatian mendapati lebih 65 peratus daripada penagih itu melibatkan golongan belia dan remaja.

Katanya, berdasarkan rekod kebanyakan kes adalah jenis dadah sintetik yang menyumbang 65 peratus penggunaannya manakala penagih paling ramai dikesan adalah di negeri berdekatan negara jiran terutamanya di utara dan pantai timur.

“Belia merekodkan jumlah tertinggi dan antaranya disebabkan mempunyai banyak waktu senggang tanpa melakukan aktiviti berfaedah,” katanya pada sidang akhbar selepas program Retreat Bersama Klien dan Malam Apresiasi Media, di sini malam tadi.

Menurut Sutekno, statistik tahun lalu merekodkan seramai 1.09 juta penagih dadah atau daripada 100,000 penduduk negara ini didapati 3,361 orang merupakan penagih.

“Trend penyalahgunaan dalam tempoh lima tahun bermula 2018 pula menunjukkan perubahan daripada dadah organik kepada sintetik.

“Jumlah itu meliputi sebanyak 67.4 peratus bagi dadah sintetik manakala 32.6 peratus pula organik,” ujarnya.

Kata beliau, sumber bekalan dadah terutama syabu, heroin dan ganja rata-ratanya diperoleh daripada tokan, rakan serta saudara mara.

“Justeru, kita menasihatkan ahli keluarga membawa penagih secara sukarela kepada AADK bagi mendapatkan rawatan pemulihan.

“Kita menyasarkan kadar penagih dadah berada bawah 400 orang daripada 100,000 penduduk menerusi pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Skuad Antidadah,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI