fbpx

‘Depa’ dah pecat Kedah dari Malaysia kah? – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan sama ada Kedah telah ‘dipecat’ dari Malaysia berikutan tindakan kementerian tertentu menghalang jabatan dan agensi di bawah mereka daripada menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, halangan itu merangkumi semua bidang dengan yang terbaru, adalah berkaitan dengan penganjuran Hari Sukan Negara di negeri ini.

Sebelum ini katanya, penganjuran Hari Sukan Negara di peringkat negeri dipengerusikan oleh exco sukan masing-masing.

“Namun sekarang ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu, diberikan kepada  Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk melaksanakan Hari Sukan Negara tanpa melibatkan negeri. Dalam masa sama, mereka nak ‘pakai’ pegawai-pegawai daerah (DO) kerana pengerusi majlis sukan di daerah adalah pegawai daerah.

“Exco sukan ‘depa’ tak mahu pakai tetapi DO mereka nak. Saya rasa tak sihat politik macam itu.

“‘Awat’, ‘depa’ dah pecat Kedah dari Malaysia kah? Kalau rasa kita sebahagian daripada Malaysia, tak patutlah buat macam itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kulim Technology Park Corporation (KTPC) di Wisma Darul Aman dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr. Haim Hilman Abdullah baru-baru ini, yang meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sama ada wujud arahan dikeluarkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi melarang mereka terlibat dengan sebarang program dianjurkan kerajaan negeri Kedah.

Haim meminta penjelasan berhubung perkara itu kerana beliau mendakwa, beberapa IPTA telah menolak jemputannya untuk terlibat dalam program mahasiswa anak Kedah dengan institusi tersebut memberi alasan, bahawa mereka tidak dibenarkan kementerian atau jabatan bertanggungjawab bagi melibatkan diri.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau pernah bertanyakan kepada pihak tertentu yang memaklumkan arahan tersebut tidak dibuat secara bersurat sebaliknya dikeluarkan secara lisan.

“Ini politik tahun 70-an atau 80-an. Sekarang sudah 2023 dan orang tak buat dah politik macam itu.

“‘Habaq’ kat ‘depa’ macam itulah dan tak payahlah main politik begitu sebab dah tak sesuai. Dalam sukan atau pendidikan tak patut ada politik dan kenapa ‘benda-benda’ itu nak dimangsakan kerana politik?,” soalnya.

Dalam pada itu beliau mendakwa, seorang pengetua sekolah di negeri ini turut dipanggil pihak berkaitan, hanya kerana seorang wakil rakyat hadir ke sekolah berkenaan bagi menyaksikan aksi anaknya yang terlibat dengan sukan.

“Menteri Pelajaran kata ‘dak’ (tak), boleh mohon tetapi 30 hari. Takkan nak ‘pi’ tengok anak sukan, kena mohon 30 hari?

“Tak masuk akalkan perkara seperti itu? Jadi seolah-olah cakap lain, buat lain dan saya rasa ini politik 1980-an yang sangat tak sesuai walaupun ‘depa’ kata Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI