fbpx

Dua kontraktor didakwa lagi tipu baik pulih sekolah SJKT RM875,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seng Nam (kiri) dan Mohd. Syafeeq (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dua kontraktor yang sebelum ini didakwa memperdaya lembaga pengelola sekolah vernakular berhubung baik pulih fasiliti, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sama membabitkan nilai RM875,000, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Syafeeq Mohd, 40, dan Cheah Seng Nam, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama memperdaya Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Semenyih untuk menyerahkan wang sebanyak RM875,000 kepada mereka.

Ia yang mana mempercayai mereka adalah kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti di sekolah berkenaan yang bernilai RM875,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Midah di sini, antara 27 Ogos 2020 hingga 8 Oktober 2020.

Justeru, pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, Pengawai Pendakwa Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Ridha Abdah Subri mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin RM12,000 setiap seorang atas alasan mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Rozina membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan

Tarikh 25 Oktober ini ditetapkan sebutan semula kes.

Sebelum ini, pada 13 September lalu, kedua-dua lelaki itu didakwa Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan sama membabitkan nilai lebih RM1.2 juta tiga tahun lalu.

Ia melibatkan kerja penyelenggaraan dan baik pulih dua buah sekolah rendah Tamil di Kuala Selangor dan Batu Arang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI