PETALING JAYA – Keinginan untuk segera sembuh selain terperdaya dengan iklan di media sosial menyebabkan ramai pesakit yang mengalami masalah saraf dan tulang belakang kini hanya terlantar di atas katil selepas mendapatkan rawatan daripada kiropraktor tidak bertauliah.
Lebih teruk lagi apabila ada pesakit yang mengalami masalah sakit-sakit sendi kini disahkan lumpuh selepas menjalani rawatan kiropraktik daripada individu yang menyediakan servis dari rumah ke rumah.
Rawatan kiropraktik ini adalah kaedah rawatan menggunakan teknik picitan, urutan, penarikan dan tekanan untuk memulihkan sendi-sendi yang terkehel atau masalah terseliuh.
Secara asasnya, rawatan ini perlu dilakukan oleh kiropraktor bertauliah selain pesakit perlu menjalani imbasan X-ray sebelum pemulihan dilakukan.
Bagaimanapun, keterujaan orang ramai untuk mendapatkan rawatan itu menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan dengan mengaku sebagai kiropraktor bertauliah selain mempromosikan rawatan berkenaan di media sosial pada harga serendah RM70 hingga RM150.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, kebanyakan kiropraktor tidak bertaulih ini hanya mengambil kursus jangka pendek atau belajar secara turun-temurun daripada ahli keluarga.
Seorang wanita dikenali sebagai Nur, 41, yang menderita penyakit ‘slipped disc’ mengakui sangat menyesal selepas mendapatkan rawatan daripada seorang kiropraktor tidak bertauliah di Kuantan, Pahang.
Menurut Nur, dia mengenali individu berkenaan daripada seorang rakan kononnya kiropraktor tersebut boleh merawat sakit saraf dan sendi dengan bayaran sekitar RM150 hingga RM250.
“Semasa rawatan dibuat, sakitnya Tuhan sahaja yang tahu. Dia pusingkan badan saya ke kiri dan kanan, angkat kaki dan dilipat-lipatnya. Orang luar tengok dalam video memang seronok, tapi hakikatnya amat menyakitkan.
“Selepas rawatan itu, saya makin sukar untuk tidur ekoran sakit melampau di bahagian belakang. Pinggul, pinggang serta tulang belikat berdenyut-denyut sehingga saya tidur terlentang sepanjang malam.
“Sakit itu berlarutan selama beberapa hari dan saya terpaksa pergi bahagian kecemasan di hospital untuk dapatkan rawatan susulan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Dia yang bekerja sebagai peniaga juga perlu mengambil ubat penahan sakit kerana tidak mampu menanggung kesakitan yang dihadapi setelah mendapatkan rawatan kiropraktik itu.
“Saya memang ada ‘slipped disc’ sejak awal tahun, tetapi ia tidak seteruk selepas saya ambil rawatan kiropraktik ini. Sebelum rawatan itu, badan saya tegak sekarang jadi bongkok sedikit.
“Doktor juga nasihatkan saya untuk berhenti mendapatkan rawatan berkenaan dan sekarang hanya menunggu sama ada perlu menjalani pembedahan ataupun tidak,” katanya.
Seorang lagi pesakit dikenali sebagai Farah, 24, tidak menyangka kelegaan yang dirasai selepas mendapatkan rawatan kiropraktik di rumahnya pada April 2021 hanya bertahan sementara sebelum kesihatannya merosot teruk.
“Masa rawatan awal, kiropraktor itu kata sakit saya tidak teruk sangat, cuma terseliuh urat. Bila saya tanya dia belajar dari mana, lelaki itu kata hanya belajar turun-temurun dan menuntut ilmu daripada mereka yang berpengalaman.
“Mula-mula semuanya okey, tetapi selepas sebulan lakukan rawatan, badan saya makin teruk sehingga lumpuh selain perlu menjalani pembedahan segera.
“Selepas pembedahan, saya lakukan fisiologi dan bertemu kiropraktor bertauliah. Saya dimaklumkan bahawa rawatan kiropraktik perlu dimulakan dengan imbasan X-ray untuk tahu kedudukan tulang dan bukannya terus ditekan atau diurut,” jelas eksekutif pemasaran itu.
Tambah Farah lagi, pada mulanya dia dan keluarga menganggap kesakitan dialami itu normal, tetapi semakin teruk selepas beberapa kali melakukan rawatan.
“Sekarang saya serik untuk dapatkan rawatan sebegini. Pesanan saya, carilah kiropraktor bertauliah, pastikan berdaftar.
“Jangan mudah percaya lagi-lagi mereka yang datang ke rumah. Tidak tahu sejarah sakit kita apa, terus dakwa boleh sembuhkan. Kesihatan kita mahal, jangan sebab nak cuba sahaja, kesihatan kita jadi merosot,” tegasnya.
Sementara itu, seorang lelaki dikenali sebagai Asyraaf Hamid berkata, ibunya yang berusia 58 tahun terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang selepas mendapatkan rawatan kiropraktor haram di Ipoh, Perak pada tahun lepas.
Jelasnya, mereka sekeluarga juga terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM30,000 pada September tahun lalu bagi menanggung kos pembedahan ekoran ibunya yang tidak dapat berjalan.
“Saya tak pasti orang lain, tetapi rawatan yang dilakukan oleh kiroptaktor tersebut membuatkan sakit ibu saya makin teruk,” dakwanya.













