PETALING JAYA – Mangsa kemalangan langgar lari melibatkan sebuah kereta jenis Mazda CX-5 di ibu negara kelmarin mengalami strok ringan selain cedera di bahagian kepala, tangan dan kaki.
Mangsa, Samsul Suman, 67, yang merupakan peniaga makanan di pasar malam kini menerima rawatan di Hospital Ampang termasuk enam jahitan pada kepala.
Anaknya, Muhammad Firdaus Samsul, 30, berkata, ketika kejadian di Jalan Ampang itu, bapanya dalam perjalanan melawat adiknya yang berusia 17 tahun di Hospital Rehabilitasi Cheras.
“Adik lelaki saya terbabit dalam kemalangan motosikal pada 18 Julai lalu. Dia masih dalam keadaan separuh sedar di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Muhammad Firdaus berkata, kejadian menimpa bapanya dimaklumkan pemilik kamera papan pemuka (dashcam) kereta yang sempat merakam kejadian kemalangan tersebut.
Menurutnya, pemilik kereta itu memberitahu bapanya menunggang motosikal ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan selepas kejadian.
“Pemilik dashcam itu mengambil keputusan mengekori bapa saya dari belakang sehingga dia sampai di hospital. Dia mahu memastikan ayah saya tiba dengan selamat di hospital,” katanya.
Mangsa bagaimanapun sudah dibenarkan keluar hospital kelmarin dan laporan juga telah dibuat di Balai Polis Ampang.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pemilik kereta jenis Mazda CX-5 dicari gara-gara melanggar lari penunggang motosikal sehingga terjatuh. Menerusi video yang dimuat naik pengguna Facebook, kejadian tersebut berlaku pukul 12.47 tengah hari.
Di dalam video itu, kelihatan kereta Mazda itu secara tiba-tiba menghimpit penunggang motosikal yang berada di laluan kiri sehingga terjatuh. Pemilik kereta tidak berhenti, sebaliknya meneruskan perjalanan.















