fbpx

Jerebu ancam kesihatan paru-paru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEREBU merujuk kepada kualiti udara tidak sihat terdiri daripada campuran bahan pencemar seperti habuk, zarah asap, karbon monoksida dan gas bertoksik.

JEREBU bukanlah satu masalah baharu yang melanda negara kita.

Malah, saban tahun masalah ini akan berlaku. Langit yang membiru diselaputi warna kelabu kerana diselubungi jerebu.

Jerebu ini sebenarnya boleh mengancam kesihatan paru-paru lantas boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai.

Pakar Perunding Pernafasan, Perubatan Dalaman dan Pulmonologi Intervensi di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Kow Ken Siong berkata, jerebu merujuk kepada kualiti udara tidak sihat yang terdiri daripada campuran bahan pencemar seperti habuk, zarah asap, karbon monoksida dan gas bertoksik.

Menurutnya, zarah-zarah kecil ini boleh menembusi paru-paru dan saluran darah sehingga memudaratkan kesihatan rakyat Malaysia.

“Fenomena jerebu ini merupakan isu yang berterusan di Malaysia, terutamanya di kawasan di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 1 pada bulan September 2023 menunjukkan kuantiti zarah halus yang membimbangkan sehingga boleh menjejaskan tahap kesihatan.

“Pihak pakar juga meramalkan bahawa keadaan jerebu ini akan berterusan,” katanya.

Lanjutnya, tambahan pula, musim kering akan meningkatkan lagi risiko kebakaran hutan dan jerebu dari bulan Jun hingga Oktober.

Dalam pada itu jelasnya, jerebu sebenarnya memberi kesan terhadap kesihatan individu.

Secara umumnya, kebanyakan individu memahami bahawa pendedahan kepada udara yangtidak sihat adalah tidak baik untuk paru-paru.

DR. KEN SIONG menggalakkan penggunaan pelitup muka semasa jerebu melanda.

Bagaimanapun, pendedahan yang berterusan dalam tempoh yang panjang terhadap udara tercemar boleh membawa kepada penyakit pernafasan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), radang paru-paru dan kanser paru-paru.

Di peringkat global, pencemaran udara termasuk jerebu dikaitkan dengan kematian pramatang, jangkitan dan pelbagai penyakit.

Dr. Ken Siong menjelaskan, jerebu menjejaskan sistem pernafasan adalah kerana zarah halus dalam jerebu yang berdiameter kurang daripada 2.5 mikron.

Menurutnya, walaupun selalunya hadir dalam jangka masa yang pendek, ia boleh mendatangkan kesan berpanjangan terutamanya apabila dihidu.

“Apabila terdedah kepada jerebu, biarpun untuk jangka masa pendek, boleh mengakibatkan gejala bronkitis akut seperti batuk kahak, sesak dada, sesak nafas dan kelesuan.

“Golongan rentan seperti kanak-kanak, warga tua dan mereka yang mempunyai penyakit seperti asma serta penyakit kardiovaskular berdepan risiko yang lebih tinggi.

“Sekiranya terdedah kepada jerebu secara berterusan selama beberapa tahun, ia boleh memburukkan lagi keadaan kronik paru-paru yang sedia ada, meningkatkan risiko kanser paru-paru dan boleh membawa kepada serangan bronkitis dengan kerap,” jelasnya.

Tambahnya, individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan juga mungkin mengalami simptom saluran pernafasan dan berisiko mendapat jangkitan virus.

Oleh itu, setiap individu harus melindungi diri sebaiknya dan Dr. Ken Siong turut berkongsi panduan untuk melindungi diri anda dan orang yang tersayang daripada terkesan dengan pencemaran jerebu.

Menurutnya, apa yang seseorang itu boleh lakukan antaranya adalah dengan duduk di rumah sekerap mungkin, terutamanya di kawasan yang mencatatkan indeks pencemaran udara tidak sihat.

“Selain itu, pastikan pintu dan tingkap ditutup untuk mengelakkan pencemaran udara di dalam rumah.

“Kita juga boleh menggunakan penulen udara atau air purifier berkualiti tinggi dengan penuras High Efficiency Particulate Air (HEPA) yang boleh membantu mengurangkan risiko kerana kualiti udara di dalam rumah boleh terjejas disebabkan jerebu, terutamanya apabila ventilasi semula jadi adalah terhad,” terangnya.

Tambahnya, setiap orang disarankan untuk menggunakan pelitup muka N95 apabila berada di luar rumah untuk jangka masa panjang agar boleh membantu menapis zarah halus yang mungkin berbahaya.

Selain itu, kita juga perlu pastikan kekal hidrat sepanjang hari dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini serta nasihat perubatan.

Dalam pada itu, Dr. Ken Siong turut menggalakkan rakyat Malaysia sentiasa memantau keadaan kualiti udara melalui sumber-sumber rasmi, mengehadkan aktiviti luar semasa jerebu dan mendapatkan nasihat perubatan profesional jika ada mengalami simptom paru-paru atau jantung.

Terangnya, mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor, terutamanya dengan ‘inhaler’ amatlah tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Kesan pencemaran jerebu terhadap kesihatan pernafasan adalah membimbangkan di Malaysia.

“Dengan memahami risiko kesihatan dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan sewajarnya, orang ramai boleh melindungi diri mereka dengan lebih baik semasa jerebu melanda.

“Dapatkan maklumat terkini dan rawatan perubatan yang tepat pada masanya adalah penting untuk menjaga kesihatan paru-paru,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI