fbpx
Tangkap layar mesej WhatsApp yang dihantar along kepada rakan-rakan peminjam bagi tujuan memalukan mangsa.

Letak nama kawan buat hutang ceti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta di sini tidak sangka rakan baiknya yang dikenali sejak zaman persekolahan menggunakan namanya sebagai penjamin sehingga menjadi buruan sindiket pinjaman wang tanpa lesen.

Fadzli Ibrahim, 35, berkata, dia mengetahui rakannya yang be­kerja sebagai peniaga pasar malam itu meminjam along selepas menerima mesej WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, mesej tersebut meminta dirinya untuk bekerjasama dengan pihak along selepas rakannya itu dipercayai menggunakan namanya sebagai rujukan semasa proses pinjaman.

“Saya terkejut apabila along itu dapat nombor telefon saya. Sindiket itu juga seolah-olah tahu saya ada berhubung de­ngan peminjam wang itu menerusi WhatsApp sebelum ini.

“Saya tidak layan mesej berbaur ugutan itu kerana bukan saya yang meminjam wang. Curiga dengan keadaan itu, saya ada bertanya kepada rakan-rakan lain dan mereka juga menerima mesej yang sama daripada along tersebut,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai tindakan along menularkan gambar isteri dan anak di Facebook setelah peminjam gagal melunaskan pinjaman seba­nyak RM3,000.

Kata Fadzli, dia faham situasi rakannya yang mungkin terpaksa meminjam wang along, tetapi terkejut dengan tindakan along yang menularkan gambar pe­minjam.

Menurutnya, dia juga ada menghubungi rakannya yang meminjam wang itu, namun gagal apabila lelaki tersebut dipercayai sudah menukar nombor telefon selepas dikejar along.

Sementara itu, seorang peniaga Ahmad Tarmizi Habib, 32, berkongsi cerita, dia banyak melihat banyak hantaran me­ngenai along memburu pe­minjam di kumpulan melibatkan masyarakat atau daerah-daerah di Kelantan menerusi aplikasi Facebook.

Menurutnya, sindiket along dilihat menggunakan taktik itu apabila ia mudah untuk mencapai sasaran terutamanya penduduk yang kenalan dan tinggal satu tempat dengan peminjam.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, taktik itu merupakan kaedah baharu digunakan oleh along sejak tiga tahun lalu untuk menjejak peminjam yang culas membayar hutang.

Ujarnya, selain perkembangan teknologi semasa, taktik itu digunakan oleh along bermula ketika negara dilanda pandemik Co­vid-19 apabila sindiket itu sukar untuk bertemu muka peminjam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN